BAB 7

“Assalammualaikum umi, abah.” Yazir menarik kerusi, lalu duduk.

“Waalaikummussalam.” Encik Razlan dan Puan Salmah menjawab hampir serentak.

“Adik kamu mana?”

“Entah. Bilik dia bertutup lagi,” jawab Yazir sambil tangan sudah mencapai seketul karipap.

“Dah baca doa makan ke tu?” tegur Puan Salmah apabila dilihatnya Yazir terus memasukkan separuh karipap ke dalam mulutnya. Yazir tidak jadi mengunyah.

“Dah lah umi. Takkan lah baca doa sampai orang sebelah boleh dengar.”

“Hah cakap pasal orang sebelah, hantarkan Farish karipap ni sikit. Pulangkan bekas dia malam tadi.” Puan Salmah menolak bekas makanan itu di hadapan Yazir. Terkebil-kebil Yazir meemandang ibunya.

“Ala umi ni. Suruhlah Wani.” Yazir cuba menolak.

“Batang hidung adik kamu pun umi tak nampak. Hantarkan sekarang, boleh juga dia buat sarapan.”

“Tu dia.” Yazir tuding jari telunjuk ke arah Wani yang sedang menguap panjang.

“Tunjuk-tunjuk apa ni?” Wani tarik kerusi sambil menjeling tajam ke arah Yazir.

“Dah mandi ke belum ni?” tanya Encik Razlan yang serta-merta mematikan jelingan Wani.

“Dahlah, abah. Wani tertidur lepas subuh tadi.” Wani sengih.

Encik Razlan menggeleng. Kalau dilihat perangai anak perempuannya itu, memang sampai ke tualah, tiada siapa yang sudi nak jadikan isteri.

“Wani pergi hantar ni.” Yazir tolak bekas makanan di hadapannya.