BAB 12

“Lala kucing kita lah.”

“Bila pula kita ada bela kucing.” Kata-kata yang keluar daripada mulut Puan Salmah umpama meteor yang jatuh dari langit dan menghempap kepala Wani sehingga pecah. Wajah Wani sudah merah.

“Daripada kamu dok berkhayal bela kucing kat luar tu, baik tolong umi masak,” ujar Puan Salmah sebelum kembali ke dalam rumah. Farish sudah senyum simpul mendengar kata-kata Puan Salmah.

“I think you better get inside and learn how to cook. Senang nak kahwin nanti.” Perli Farish dengan senyuman sinis. Wani ketap bibir kuat.

“Hello.” Farish meletakkan kembali telefonnya di telinga. Senyap. Dia pantas melihat skrin, rupanya talian sudah diputuskan. Dia menjengah semula di sebalik tembok. Wani sudah tiada di situ.

Rentetan dari kejadian itu, Wani tidak lagi keluar dari rumah, malunya kepada Farish masih belum hilang. Kerjanya dari pagi sampai ke malam adalah mengadap laptop dan tv dan sesekali ada juga dia melihat kelibat Farish itu pun cuma dari tingkap biliknya.

“Orang sebelah tak ada ke umi?” tanya Wani di meja makan selepas tiga minggu kejadian yang memalukannya itu. Encik Razlan tepat memandang Wani, dia kemudian memandang isterinya.

“Tanya Farish kenapa ni?”

“Tiba-tiba aje tanya Farish , ada apa-apa ke?” Yazir pula bertanya, terangkat-angkat keningnya tanda curiga.

“Saja aje tanya, tengok dah dua hari rumah dia gelap aje.”

“Mana Wani tahu rumah dia gelap?” tanya Encik Razlan curiga. Wani mengerut dahi. “Dah rumah sebelah, tak kanlah Wani tak perasan,” jawab Wani selamba.

“Pelik pula bunyinya macam kamu perhatikan rumah dia 24 jam aje,” perli Encik Razlan. “Tak adalah.” Wani menjawab perlahan, nasi di dalam mulutnya bagai sukar ditelan. Yazir sudah tersenyum simpul.