BAB 16

“Are you waiting for someone?” Alissya terus bertanya.

“Assalammualaikum.” Belum sempat Wani menjawab suara itu menerpa ke gegendang telinganya. Suara yang cukup dikenalinya. Farish.

Farish memeluk Alissya rapat ke badannya dan dahi adiknya itu dicium mesra. “Is she your girl?” tanya Alissya berbisik. Farish hanya tersenyum kemudian pandangannya beralih kepada Wani. “She suits you well,” usik Alissya seraya mengenyitkan matanya.

“Catch you later, have fun okay.” Alissya melambai ke arah Wani sebelum melangkah meninggalkan mereka berdua sendirian.

“Dah lama sampai?” tanya Farish seraya duduk di sebelah Wani.

“Baru aje.”

“Comel hari ni,” puji Farish.

“Siapa yang comel?” Wani pura-pura bertanya sedangkan hatinya sudah berbunga-bunga cinta. Farish pandang wajah Wani sebelum pandangannya beralih ke luar kawasan rumah.

“Tiang lampu tu yang comel, kalau dia pakai baju lagi comel,” jawab Farish selamba. Wani tarik muka.

“Kahwin aje dengan tiang lampu tu,” suara Wani seperti merajuk

“Hmm?” Farish angkat kening, senyuman kemudian terukir di bibirnya.

“Wani nak kahwin dengan Farish ke?” Farish mula nakal. Wajah Wani merah membahang, dia angkat kepala dan memandang tepat ke mata Farish. Bagai hendak luruh jantungnya apabila melihat senyuman nakal di wajah kacak Farish.

“Tak nak.” Wani terus pandang wajah Farish, agak lama matanya bertentang dengan mata coklat itu sebelum dia bingkas bangun namun tangannya sempat digapai Farish.