Bab 3

Langsung tidak hiraukan insan yang lalu-lalang. Ibu Sorhana baru saja aku hubungi. Dalam perjalanan ke sini agaknya bersama abang Sorhana.

Aku tidak tahu apa yang terjadi tapi… doktor-doktor di sini seolah-olah sudah lama mengenalinya.

Bahuku disapa. Aku mengangkat wajahku. Terbias wajah ibu dan abang Sorhana di kornea mataku. Wajah yang penuh kesedihan.

“Mana Ana?” soal ibu Sorhana perlahan.

“Masih ada kat dalam,” tuturku lemah.

Dia menarik nafas sebelum melabuhkan punggung di sisiku. Abang Sorhana juga. Malam semakin pekat. Doktor juga masih belum keluar. Aku tidak tahu apa yang terjadi. Tiba-tiba saja dia tidak sedarkan diri.

“Kenapa dengan Ana?”

Ibu Sorhana mengetap bibir. Memandangku sekilas sebelum meluruskan pandangan. Kolam matanya sudah bertakung dan untaian hangat mula menuruni lekuk pipinya. Terhinggu-hinggut dia menahan esakan.

Soalanku cukup mudah namun begitu senangnya ibu Sorhana mengalirkan air mata. Yang aku perlukan tika ini hanya jawapan.

“Mak cik nak pergi tandas,” ujar ibu Sorhana sebelum melangkah pergi.

Kini pandanganku beralih pada wajah abang Sorhana, Waiz.

“Kenapa dengan Ana?”

Dia senyum pahit.

“Hypertrophic cardiomyopathy”

Aku bungkam. Mustahil! Selama ini, aku tidak pernah lihat Sorhana pengsan atau rasa sakit di dada. Hanya kali ini saja. Sorhana sihat! Tolonglah. Tolong beritahu aku semua ini hanya mimpi. Dia tidak akan mampu menanggung semua ini.

Hypertrophic cardiomyopathy merupakan penyakit di mana penebalan otot jantung disebabkan kegiatan sukan yang berterusan atau masalah kelainan genetik. Ini berlaku apabila seseorang itu melakukan sesuatu kegiatan lebih daripada biasa seperti tenaga yang dikerah ketika perlawanan. Masalah ini juga boleh berlaku disebabkan oleh faktor genetik daripada kecil. Dan Nur Sorhana bukan seorang yang aktif dalam bidang sukan.

Hingga saat ini, masih tiada ubat yang mampu merawat penyakit ini.

“Ayah kami pun meninggal sebab penyakit tu,” ujarnya lagi.

“Dia takkan mampu bertahan lama.”

Darahku berderau.

“Pembedahan?”

Lelaki bertubuh tinggi lampai itu menggeleng.

“Dah terlambat, H. She’s dying.”

“Dia takkan mati tanpa izin Yang Esa!”

“Aku tahu tapi setiap saat akan mendekatinya dengan kematian.”

“Aku nak kahwin dengan dia, boleh?”

Perlahan-lahan aku mendekati Nur Sorhana yang sedang baring. Menghadiahkan segaris senyuman nipis.

Aku meletakkan jambangan bunga ros di atas katilnya. Dia merenungku tanpa kata. Setiap renungannya membuatkan hatiku terluka. Mengapakah baru sekarang aku mengetahui keadaannya? Mengetahui betapa deritanya dia.

Ingin sekali aku merangkul erat tubuhnya, membisikkan kata-kata semangat namun aku tahu semua itu terlalu mustahil. She’s not my wife.

“Ana sihat?”

“Tak ada hari yang Ana tak sihat, bang.”

Bibirku mengoyak senyuman kelat.

“Ana nangis masa kita jumpa dulu tu sebab penyakit Ana?”

…bersambung
Bab akan datang:
Berapa lama Ana mampu bertahan dengan penyakitnya?