Bab 4

“Masa tu, Ana tak kuat. Sekarang Ana dah kuat. Ana tak salahkan Yang Esa. Ana bahagia dengan hidup Ana. Ana bahagia boleh jumpa abang. Ana ingatkan boleh rahsiakan semua ni sampai Ana mati tapi abang dah tahu.

Hajat Ana tak kesampaian rupanya.”

“Na, kita kahwin?”

*****

Kepalanya disandarkan pada tubuhku. Dadanya ditumbuk berkali-kali meskipun sudah banyak kali aku melarang dia berbuat sedemikian. Saat ini, aku hanya mampu berdoa agar seorang insan bernama Nur Sorhana panjang usia. Tapi aku sudah bahagia kerana dia sudah menjadi isteriku. Andainya sudah tiba waktu untuk dia melangkah pergi, aku redha.

Sekuntum mawar merah dibawa ke hidungnya. Setiap hari, aku akan membeli sekuntum bunga mawar untuknya dan sudah banyak mawar merah yang layu masuk ke dalam tong sampah.

“Ana teringin nak ada rumah yang sekeliling dia ada banyak bunga ros. Mesti cantik!”

Aku senyum. Rambutnya aku elus lembut. Dahinya aku kucup lembut.

Rasa kasih sayang ini takkan pernah hilang. Rasa cinta ini takkan boleh diragui. Hanya sebaris namanya yang terpahat di hatiku.

Jari-jemari kami bersulam.

“Abang akan bina rumah yang ada banyak bunga ros tapi…”

“Tapi apa?”

“Sayang kena bertahan.”

Laju saja dia mengangguk.

Mengakhiri hubungan ini dengan perkahwinan adalah yang terbaik. Tidak guna aku mencintai dia seandainya dia bukan milikku. Tidak guna aku ada di sisinya jika dia bukan isteriku. Aku sudah berusia 32 tahun. Isteriku pula sudah mencecah 26 tahun. Moga masih ada masa untuk kami bersama.

Aku harus menghubungi Hazmi sebentar lagi. Dia boleh membantuku. Membina rumah dengan sekelilingnya dipenuhi bunga ros.

“Ana tak sabar nak tengok rumah tu,” tuturnya bahagia.

“Ana kena bertahan. Pasti Ana boleh tengok rumah tu.”

*****

Hazmi dan aku saling berpandangan. Rumah batu setingkat ini sudah hampir siap. Pokok-pokok mawar sudah lama ditanam. Sejak beberapa bulan yang lalu, aku berulang-alik dari Kedah ke Cameron Highland. Aku akui sangat penat namun aku sanggup berkorban demi Nur Sorhana. Tidak mahu menghampakan dia.

Aku melabuhkan punggung di atas kerusi plastik berwarna putih. Para pekerja masih giat menyiapkan segala-galanya. Aku mahu semuanya sempurna. Aku mahu melihat seorang Nur Sorhana tersenyum.

“Muhammad Zuhdi, kau dah banyak berkorban demi dia.”

“She’s my wife.” Laju saja aku menuturkan kata.

Hazmi tersenyum dan mengangguk.

“I know. Gara-gara Nur Sorhana, seorang senior accountant sanggup ambil cuti tanpa gaji. Gara-gara Nur Sorhana, seorang senior accountant sanggup berulang-alik dari Kedah ke Cameron Highland.”

Isteri lebih penting berbanding kerjayaku. Isteri lebih penting berbanding pengorbananku.

Tubuhku aku peluk erat. Sehelai rambut yang terjuntai di dahi aku biarkan.

…bersambung
Bab akan datang:
Sempatkah Zuhdi menunaikan impian Ana?