Bab 5

Sungguh aku berasa tenang tika ini.

Tepukan pada bahuku melenyapkan kenangan minggu lalu. Nur Sorhana melabuhkan punggung di atas ribaku. Merebahkan kepalanya pada dadaku. Aku tersenyum. Dia memang manja. Aku tidak pasti apa yang akan terjadi sekiranya dia pergi dari hidupku.

“Abang, jom pergi taman.”

“Esoklah kita pergi. Dah malam ni.”

Dia menarik muncung dan aku mengangguk jua.

Taman ini merupakan tempat di mana aku dan Sorhana bertemu buat pertama kali. Dia memang suka datang ke sini. Bercerita tentang masa lalu dengan gembiranya. Bercerita tentang zaman kanak-kanaknya dan aku menjadi pendengar yang setia. Menyampuk apabila perlu. Ketawa apabila lucu. Menangis apabila sedih.

Bangku yang masih berdiri utuh itu menjadi tempat aku dan isteriku melabuhkan punggung. Kepalanya dilentokkan pada bahuku seperti biasa.

“Rumah kita dekat Cameron dah nak siap.”

Dia senyum. Jari-jemarinya diletakkan di atas ribaku.

“Mesti cantik.”

“Mestilah!” ujarku kuat.

“Abang, Ana sayang abang.”

“Sayang Ana jugak.”

Angin malam menyapa dua lekuk pipiku. Tubuhku menggigil kesejukan.

“Ana nak tidur untuk lima minit.”

“Tidurlah,” bisikku perlahan.

Kelopak matanya tertutup rapat. Segaris senyuman terlorek di bibirnya sebelum senyuman itu mati. Aku hanya menggeleng. Ada-ada saja Nur Sorhana ini. Di sini pun dia tetap boleh melelapkan mata. Ingatkan datang sini nak berbual.

Selepas lima minit, aku menggoncang bahunya. “Sayang, bangun.”

Dia diam.

“Sayang, bangun. Dah lima minit dah ni.”

Dia tetap diam. Jantungku berdetak laju. Terketar-ketar jemariku menyapa nadinya. Aku tersenyum meskipun titisan air mata semakin galak tumpah.

“Sayang cakap nak tidur untuk lima minit saja. Sayang tipu abang!”

*****

Jendela yang terbuka sedari tadi aku tutup. Sekuntum bunga mawar merah yang aku pegang aku letakkan di atas meja lampu. Rumah ini sudah siap dibina dengan pokok bunga mawar mengelilingnya tapi… insan yang ingin melihat rumah ini sudah tiada.

Tapi aku bahagia dengan semua ini. Sekurang-kurangnya, aku masih ada waktu untuk bersama dengannya.
Potretnya di dinding kamar tidur aku tenung sebelum tersenyum.

“Ana nak tidur untuk lima minit.”

Itu kata-kata terakhir yang menampar gegendang telingaku. Tabahlah wahai hati.

Nur Sorhana, moga bahagia di sana. Abang relakan pemergian sayang. Doa abang mengiringi pemergian sayang. Kisah cinta kita di dunia ini berakhir di sini. Moga kita dipertemukan di syurga Yang Esa.