Bab 1

Seorang gadis yang sedang menekur tanah mencuri perhatianku. Aku meletakkan tumbler di sisi. Terus aku melompat turun dari tembok yang memisahkan taman permainan dan medan selera. Mengatur langkah rapi mendekatinya.

“Hai!” ujarku ceria.

Wajahnya diangkat. Aku tersentak. Pipinya sudah dinodai air mata. Bibirnya pucat tanpa senyuman.

Pandangan yang dihulurkan membuatkan aku tidak tentu arah. Gadis itu seolah-olah sedang bersedih dan tidak mahu diganggu namun aku tidak mampu mengalihkan tubuhku dan pergi meninggalkan dia. Bagaikan ada magnet yang membuatkan aku terus berada di sini. Melihat dia terus menangis.

“Menangis tidak mampu menyelesaikan masalah.” Kata-kata itu terus terpacul di bibirku tanpa dapat aku tahan.

“Ketawa pun tak dapat nak selesaikan masalah,” tuturnya mendatar.

Gemersik suara itu menampar gegendang telingaku.

Melihat seraut wajah itu, aku yakin dia masih muda. Hanya kata-katanya yang membuatkan dia seolah-olah sudah lama berpijak di atas muka bumi ini. Seolah-olah sudah banyak halangan yang dilalui.

Lambat-lambat aku menggeleng. Menggariskan senyuman pahit sebelum melabuhkan punggung di sisinya. Pandanganku diluruskan. Jari-jemariku menggenggam hujung bangku. Dan aku memandang gadis itu yang membisu. Ada rasa yang bertamu di hati. Rasa yang bahagia. Rasa yang baru pertama kali bertandang di hati. Aku menghela nafas panjang.

“Tuhan tak adil. Kenapa saya yang diuji?” gumamnya perlahan.

“Allah tu Maha Adil. Dia takkan uji cik kalau cik tak kuat dan cik kena tahu yang Allah sayangkan cik. Tak ada manusia yang tak diuji, cik.”

Dia senyum sinis.

“Saya tak boleh hadapi semua ni.”

“Akal dan hati kita berbeza. Hati cakap, tak boleh hadapi semua ni tapi akal akan cakap, boleh hadapi semua ni,” terangku telus.

Akal dan hati bukannya kawan. Malah lawan. Jangan terlalu ikutkan kata hati. Kelak, diri sendiri yang merana. Membuat sesuatu keputusan selepas berfikir. Bukannya selepas mengikut kata hati kita.

Langit sudah mendung. Sebentar lagi, langit akan menangis. Aku harus pulang. Jika tidak, ibu akan bising tapi… berat hati ini untuk meninggalkan dia.

Gila agaknya aku ni. Menegur gadis ini seolah-olah mengenalinya.

“Kenapa dengan cik?” soalku pelik.

“Diuji oleh Allah,” balasnya sebelum bangun dan berjalan meninggalkan aku.

“Cik, esok kita jumpa lagi kat sini. Pukul 6 petang,” laungku saat dia hampir hilang dari pandanganku.

*****

Lengan kemejaku dilipat hingga ke siku. Aku mencapai kunci kereta dan melangkah keluar dari pantry. Hazmi mengangkat tangannya saat pandangan kami bertembung. Bibirku mengoyak senyuman nipis. Dia menghulurkan backpack milikku yang berisi laptop.

“Sorry susahkan kau.”

“No prob. Kau nak balik dah?”

Aku angguk lima saat.

Jam pada pergelangan tangan aku kerling. Sorhana pasti sudah menungguku.

…bersambung
Bab akan datang:
Adakah gadis itu akan menunggunya disitu jam 6 petang?