Bab 1

Manusia menyangka mereka hanya perlu mengambil berat akan perkara yang dapat dilihat dengan mata kasar mereka. Segala perkara yang melibatkan dunia ghaib dianggap tahyul oleh kebanyakan daripada mereka. Namun siapa sangka, perkara yang langsung tidak dapat dilihat oleh mereka itu sebenarnya dapat menghancurkan mereka. Sama ada secara fizikal atau rohani, ianya dapat memusnahkan segala-galanya mengenai manusia.

Tetapi bagaimana pula dengan kumpulan insan yang terpilih untuk melihat perkara yang sebenarnya tersembunyi daripada dunia manusia? Adakah mereka patut bersyukur kerana mereka boleh dianggap unik dan istimewa atau berada dalam ketakutan kerana mereka hampir dengan sisi hitam dunia ini?

Pandangan aku? Jujurnya aku tidak pasti apa jawapannya. Walaupun aku merasakan ianya akan lebih membebankan daripada menjadi insan yang tidak mengetahui apa-apa, ada kalanya aku merasakan ianya memberi faedah kepada diriku.

Florence Alverton, ahli keluarga Alverton terakhir yang wujud daripada susur galur keluargaku. Kenapa aku seorang sahaja ahli keluarga Alverton yang hidup? Jawapannya berada pada satu malam pada 10 tahun yang lepas. Hari yang langsung tidak kusangka akan mengubah perjalanan hidupku. Daripada berada dalam zon selamat yang tidak pernah hirau akan sisi lain dunia ini, aku terjebak sama dalam sisi dunia yang baharu kepadaku.

Pada hari berlakunya kejadian yang akan sentiasa kekal dalam ingatanku, aku diperkenalkan kepada sisi gelap dunia ini. Dunia ini tidak seindah dan tidak selamat seperti yang kusangka selama ini. Suatu sisi yang penuh dengan kegelapan. Kegelapan yang telah meragut nyawa kesemua ahli keluargaku.

Takut? Tidak. Anda tidak perlu takut kepada kegelapan yang bakal menghantui anda.

10 APRIL 2018
“ Kita pergi makan dulu sampai aje hotel tu?”
“ Lapar sangat ke?”
“ Kalau tak lapar, takkan ajak pergi makan?”
“ Allen, tadi kan dah makan malam?”
“ Itu tadi. Sekarang dah lapar balik.”

Walaupun lagu lebih kuat kedengaran pada kedua-dua telingaku, tetapi aku masih mampu mendengar apa yang sedang disembangkan oleh ibu dan adik lelakiku. Ayah pula sedang menumpukan perhatian kepada pemanduannya. Tidak pula beliau mencelah perbualan kosong ibu dan Allen.

Allen mencapai beg sandang milikku yang diletakkan bersebelahan denganku. Jelas sekali niatnya untuk mengambil makanan yang aku simpan sebagai bekalan sepanjang perjalanan kami ke tempat yang menjadi pilihan destinasi pelacongan kami. Tanpa melihat kepadanya aku terus merebut kembali beg sandang itu.

“ Flo!” Allen membentak.

“ Sabarlah. Tadi kau dah makan banyak. Tunggu sejam lagi baru aku bagi makanan aku.” Aku tidak menghiraukan wajah masam Allen sebaliknya menumpukan perhatian kepada skrin tablet di atas paha. Aku lebih tertarik untuk membaca berita baharu yang sedang gempar dalam laman Facebook mahu pun Twitter.

…bersambung

Bab akan datang:
Apakah kejadian yang berlaku 10 tahun yang lepas?