BAB 1

Sejak seminggu yang lepas aku rasa macam aku dah kehilangan kehidupan sosial bila setiap hari, setiap masa tak kira siang ataupun malam aku asyik menghadap kain, benang, gunting, tali tape, dan mesin jahit. Ini semua disebabkan tempahan baju-baju pengantin yang aku terima dari Lina, si mak andam yang baru membuka butik pengantinnya.

Ok, aku bukan nak mengeluh si Lina hantar kain yang banyak untuk dibuat baju-baju pengantin untuk butik dia, tapi aku cuma rasa aku agak tertekan bila dia perlukan tiga pasang baju dalam masa dua minggu.

Mana nak kejar dengan tempahan-tempahan yang lain, dengan kain yang belum dipotong, dengan masalah-masalah lain yang mungkin timbul, dengan itu, dengan ini dan dengan semua perkara berkaitan.

Disebabkan itu, kadang-kadang aku rasa macam nak buang air besar pun tak sempat!

“Nida…. Baju dah siap?” Soal Lina, tersengih-sengih datang ke kedaiku dan bertanyakan tentang bajunya.

Ya aku tahu yang dia perlukan baju-baju pengantin ini secepat mungkin, tapi bila dia datang ke kedaiku dan bertanyakan tentang bajunya, secara tak langsung, itu telah membuatkan aku rasa semakin tertekan. Sekalipun dia tidak mendesak.

“Belum sayang…manik pun tak jahit lagi ni..” balasku sambil menjahit zip pada baju pengantin yang berwarna biru muda.

Semalam aku baru saja siapkan dress labuh warna ‘merah-jambu-belacan’ hari ni aku dah kena hadap dress warna biru pulak. Siap dress ni, kena hadap baju akad nikah warna krim pulak. Dan seterusnya sehinggalah semua baju-baju dia selesai dijahit.

“Agak-agak bila boleh dapat? Customer aku nak tengok baju ni..” Soal Lina, tidak bernada mendesak dalam soalannya tapi dalam dia tak sedar aku sedang merasakan otot-otot dan urat-urat badanku mula mengeras dan mengejang, kesakitan paling terasa di bahagian leher.

Aku berhenti menjahit dan memandang Lina, lalu bertanya kepadanya dalam nada suara yang perlahan dan lemah.

“Kau nak minggu depan kan??”

“Ha’ah.. minggu depan. Saja je aku tanya kau bila boleh siap, kot-kot boleh siapkan lebih awal ke..” balas Lina, selamba.

“Minggu depan insyaallah siaplah..” kataku dan kembali menyambung kerja yang terhenti tadi.

Kalau ikutkan hati nak je aku cakap yang aku cuma ada dua tangan, ada masa dua puluh empat jam dan ada tanggungjawab sebagai seorang pemilik kedai jahit dan bertindak sebagai si tukang jahit yang ada dua orang pekerja dan aku perlu memotong kain untuk dijahit oleh pekerja-pekerjaku dan Lina bukanlah satu-satunya pelanggan yang aku ada.

Tapi kerana dia adalah pelanggan aku, maka aku harus menjaga hati dia sepertimana aku menjaga hati pelanggan-pelanggan aku yang lain. Customer’s always right kan?

“Minggu depan hari jumaat kan?” Soal Lina kembali.

“Insyaallah hari jumaat.” Balasku.

Aku tak yakin yang aku mampu siapkan ketiga-tiga helai baju pengantin Lina ini pada hari yang ditetapkan memandangkan aku seorang yang harus lakukan semuanya dari kerja memotong kain, sehinggalah ke menjahit manik.

Bukanlah Qila dan Nik pekerjaku tak boleh tolong jahitkan tapi memandangkan ini baju pengantin, aku rasa lebih selesa dan selamat kalau aku sendiri yang jahit, tambahan pula kalau dah kami bertiga tumpukan perhatian pada baju-baju pengantin ni saja, nanti siapa pula yang nak siapkan baju pelanggan-pelanggan yang lain kan?

Tapi itulah pula masalahnya bila Lina selalu fikir yang aku bekerja hanya untuk memikirkan tentang baju dia saja..