-1-

"AIDORA TAKAMURA!!!"

Seperti biasa, nama itu pasti akan terkeluar dari mulut En. Azhar sekurang-kurangnya sekali. Nama Jepun yang dimiliki gadis Melayu yang langsung tiada menampakkan ciri-ciri seorang perempuan Jepun.

Bagi mereka yang tidak mengenali Aidora, pasti merasa pelik bila mendengar nama unik itu. Dan mungkin ramai yang tak menyangka bahawa dia adalah pemilik nama itu. Tapi itulah namanya yang tertera dalam surat beranak dan kad pengenalannya. Nama yang wujud hasil dari gabungan nama ibunya, Aurora Takamura dan ayahnya, Muhammad Aidi.

Dan disebabkan nama itu jugalah, Aidora sering diterjah dengan soalan-soalan cepumas yang sama berulang kali sehingga berbuih-buih mulutnya menjawab setiap soalan yang dikemukakan.

Antara soalan yang paling kerap Aidora terima, 'Kenapa pilih nama tu?', 'Siapa yang bagi nama tu?', 'Ada darah campuran orang Jepun ke?', 'Tak ada nama lain ke sampai terpaksa guna nama orang Jepun?'.

Soalan terakhir tu, kalau ada yang tanya, memang sah-sah akan kena sembur dengan dia. Itu hak ibu dan ayahnya yang mahu menamakannya dengan nama itu, kenapa pula orang lain yang sibuk mempertikaikannya.

Tapi yang seronoknya, kerana nama unik itulah, Aidora menjadi famous dan glamour satu Universiti.

"Aidora Takamura!!!" Sekali lagi jeritan En. Azhar, tutor yang paling Aidora anti, bergema di dalam kelas.

En. Azhar memang pantang tengok dia lepa sikit, mulalah datang anginnya nak marah tak tentu pasal. Tak pastilah kenapa En. Azhar suka sangat mencari pasal dengannya. Nak kata En. Azhar syok padanya, mungkin tidak. Kalau betul syok, tak mungkin dia dilayan sedemikian rupa.

Secara lahiriah, memang Aidora akui, En. Azhar ni, boleh tahan juga kacaknya. Kalau tidak masakan dia mempunyai peminat yang paling ramai berbanding dengan tutor lelaki yang lain. Rakan sekelas Aidora juga ramai yang tergila-gilakan En. Azhar. Cuma Aidora sahaja yang tidak berminat dengan En. Azhar disebabkan sikap panas barannya yang membabi buta tu.

"Aidora Takamura! Awak ni tak habis-habis berangan. Sampai nama dijerkah pun masih tak dengar juga. Cubalah insaf sikit dan tumpukan perhatian pada ajaran saya. Tak adalah nanti, bila disoal balik, mulalah buat muka seposen, terkulat-kulat nak menjawab, kata tak fahamlah. Kalau macam nilah sikap awak, macam mana nak pandai?!" Tengking En. Azhar dengan suara nyaring yang membingitkan telinga Aidora.

Meluat betul Aidora dengan sikap En. Azhar. Tak kuasa dia hendak menjawab soalan dari tutor yang perasan kacak tu. Takut nanti meletus perang besar antara dia dan lelaki itu. Dia kalau dah mula menjawab, memang susah nak berhenti selagi kemenangan tak berpihak kepadanya. Lagipun kenapa En. Azhar perlu ambil kisah? Hak dialah nak dengar atau tidak ilmu yang diperturunkan tu.

Aidora cukup tidak suka dengan sikap En. Azhar yang suka berlagak pandai macam seorang Profesor. Sedangkan hakikatnya, En. Azhar hanyalah seorang pelajar yang sedang menyelesaikan tesisnya untuk mendapatkan Ijazah Sarjana, dan menjadi tutor sambilan sekadar untuk menjana pendapatannya. Tapi sikapnya yang lebih sudu dari kuah tu membuatkan Aidora menggelarnya dengan nama Profesor Serba Tau, nama yang dipetik dari majalah Gila-Gila. Memang sesuai sangat nama tu dengan tuan punya badan.

"Awak ni dah kenapa, Aidora?! Tak tahu adab ke?! Cuba berdiri dan tunjukkan rasa hormat sedikit bila saya bercakap dengan awak! Mak bapak awak tak ajar ke macam mana nak hormat orang?!" Leter En. Azhar, si Profesor Serba Tau.

Aidora mula menyinga bila En. Azhar mula melibatkan nama baik ibu dan ayahnya. Tapi dia cuba juga pertahankan api kemarahan yang bakal meledak sambil matanya merenung tajam ke arah En. Azhar.

"Apahal awak tenung-tenung saya? Ingat boleh tembus ke pandangan tajam mata awak tu?"

"Eh..Siapa kata tak boleh, En. Azhar? Sebab itulah saya nampak hati En. Azhar yang busuk lagi hitam tu walaupun dah dilindungi dengan lelemak yang tebal tu." Balas Aidora selamba sambil matanya melingas ke arah teman sekelas yang sebahagiannya sedang menahan ketawa dan sebahagian lagi agak terkejut dengan sikap celuparnya.

"Kurang ajar!!!!" Tengking En. Azhar. Tangannya digenggam erat kerana bimbang dia terlepas laku dan melayangkan tapak tangannya ke muka mulus Aidora, kerana amarah yang tidak dapat ditahan.

"Memang saya ni kurang diajar! Sebab itulah adanya tutor untuk mengajar saya yang kurang diajar!" Pintas Aidora sengaja ingin menyakitkan hati En. Azhar.

Muka En. Azhar terus berkerut seribu, barangkali cuba menahan rasa marah yang membuak-buak. Aidora tunggu juga andai kata ada peluru-peluru Scud yang bakal ditembak dari mulutnya, tapi lain pula jadinya. En. Azhar langsung tak membalas kata-kata Aidora, sebaliknya dia terus mengumpul peralatan mengajarnya dan tergesa-gesa beredar meninggalkan kelas.

Aidora segera menarik nafas lega setelah En. Azhar menghilang di sebalik pintu.

"Apalah engkau ni, Aidora. Merah padam muka En. Azhar disebabkan kau." Tegur Feza yang kurang senang dengan kelancangan Aidora.

"Yelah, Aidora. Tak baik kau buat dia macam tu." Sampuk Shahrail, partner lab fizik Aidora, yang dengan selamba menjentik perlahan dahi Aidora yang agak luas.

"Kenapa pulak aku nak kesian kat dia? Dia yang tak habis-habis dengki dengan aku. Tak habis-habis nak cari salah aku."

"Selalu kau biar je dia tengking kau. Tapi kenapa hari ni, kau melawan cakap dia? Apa dia dah buat pada kau, Aidora, sampai kau marah sangat pada dia?" Soal Wahid, partner lab Kimia Aidora, yang juga merangkap kawan baiknya.

"Ini semua bermula dengan lab Kimia hari tulah. Kau kan tak dapat datang sebab kau ada hal keluarga. Disebabkan kau tak datang lab, aku terpaksalah buat eksperimen untuk minggu tu, seorang diri. Panik jugalah aku. Mujur dalam buku lab aku tu, aku dah tulis keputusan eksperimen awal-awal, copy budak-budak yang ada lab Kimia sebelum kita. Bukan aku seorang yang buat macam tu, Shahrail dan Zu pun buat juga, tapi entah kenapa, En. Azhar kesayangan korang tu, target aku seorang saja. Dia sengaja buat spot check buku lab aku, dan bila ternampak jawapan yang aku copy tu, terus dia serahkan pada Profesor Yati. Tak pasal-pasal aku kena sembur dengan Profesor Yati. Itu yang buat sampai ke hari ni, aku masih bengang dengannya." Terang Aidora panjang lebar, dengan hati yang masih sakit disebabkan peristiwa itu.

"Aku rasa, dia buat semua tu sebab nak tunjukkan kasih sayang dia pada kau. Nak pastikan kau tak menipu dalam pelajaran." Usik Wahid membuatkan Aidora mencubitnya geram.

"Saya sokong kata-kata Wahid, Aidora. Lagipun tak baik meniru atau menipu dalam pelajaran, tak berkat nanti ilmu yang dituntut." Tambah Wan Fahmi, budak genius di dalam kelasnya.

"Apa kata Aidora cuba berbaik-baik dengan dia? Siapa tahu sikap dia terhadap Aidora akan berubah seratus peratus." Usul Zubaidah yang dari tadi cuma menjadi pendengar setia.

"Nak berbaik-baik dengan dia? No way!" Bentak Aidora benci.

"Jangan-jangan dia syok kat kau tak, Aidora. Dah kau bolayan dia, tu yang dia cuba nak curi perhatian kau dengan cara buat kau marah pulak." Wahid mula serkap jarang.

"Syok dengan aku? Ish! Tak naklah aku dengan Profesor Serba Tau tu...Buat menyakitkan hati je. Lagipun bersepah lagi lelaki yang lebih baik dari dia. Kalau lelaki semua dah tak ada sekalipun dan tinggal aku dengan dia je, aku tetap tak nak pilih dia. Aku lebih sanggup membujang sampai ke akhir hayat."

"Kau jangan, Aidora. Sekarang ni kau kata benci, tapi siapa tahu, lama-lama nanti jatuh sayang pula. Masa tu macam jilat ludah sendiri jadinya." Perli Shima tersengih-sengih macam kerang busuk. Dia memang dah lama ada hati dengan En. Azhar. Satu kelas tahu tentang hal tu. Tapi kesian sungguh sebab En. Azhar buat tak endah saja padanya.

"Shima, kalau kau nak sangat, pergilah tackle dia sampai dapat. Aku memang tak ingin. Sorry, he is not my taste." Bantah Aidora keras.

Aidora tak boleh nak bayangkan kalau dia dan En. Azhar jadi couple. Belum jadi couple pun dah asyik nak berperang, kalau dah jadi couple lagilah. Mahu sepanjang masa perang besar.

"Ah! Sudahlah! Baik korang semua berhenti bercakap pasal dia. Buat hilang mood aku saja." Bentak Aidora bengang.

"Aik...marah nampak. Makin kau marah, makin comellah, Aidora. Ni yang buat jantung aku mula nyanyi lagu Dag Dig Dug." Usik Shahrail, cuba meredakan api kemarahan Aidora.

"Diamlah, Shahrail!" Marah Aidora sambil menjelirkan lidah.

Shahrail hanya ketawa melihat aksi comel Aidora. Mahu sahaja dia mencubit pipi gadis separa Jepun yang agak ganas perlakuannya. Dengan satu senyuman tipis, dia mendekati Aidora dan meletakkan sekeping coklat Zip strawberry yang disukai Aidora di atas mejanya.

"Coklat!! Untuk aku ke?!" Aidora terus melompat kegembiraan.

"Kalau nak, berhenti dari buat muka cemberut tu. Kalau tidak aku ambil balik coklat ni."

"No problem, Shahrail. Kaulah kawan aku awal dan akhir. Macam tau-tau je yang aku tengah mengidam coklat ni."

"Makan jelah. Kalau nak lagi, beli sendiri ye." Balas Shahrail yang lega tengok Aidora kembali tersenyum riang.