BAB 1

Dahlan memandu Ford Mustang miliknya dengan cermat. Dia memilih untuk diam dan memandu dengan tenang dan perlahan, bahkan lebih perlahan dari suara sahabat baiknya Fauzi yang dikurniakan dengan suara yang lantang dan bermulut lancang.

Dia lebih gemar mendengar dan mengangguk sahaja dan cuma menyampul bila perlu.

Perjalanan telah jauh direntasi. Dari Kuala Lumpur hingga ke Temerloh mereka masih melalui jalan sempit yang berliku dan berlereng.

Kawasan jalan yang berbukit dan mempunyai selekoh tajam ditambah pula jalan yang sedikit rosak dan berlubang menyukarkan pemanduan.

Kadang-kadang mereka bertembung dan berselisih dengan lori yang sarat dengan muatan kayu balak.

Jalan yang mereka lalui itu memang dikenali sebagai jalan yang mencabar dan memerlukan tahap pemanduan yang penuh fokus dan berhati-hati.

Mereka baharu sahaja pulang dari menziarahi rakan karib yang telah pergi lebih dahulu menghadap Ilahi pada pagi tadi akibat sakit jantung.

Malam itu mereka bertolak balik ke rumah setelah urusan pengebumian dan kenduri tahlil selesai.

Dahlan menurunkan Fauzi di kampungnya yang terletak di Padang Tengku. Dahlan perlu meneruskan perjalanan ke rumahnya yang terletak di Kuala Krai.

Dia menolak pelawaan Fauzi yang mengajaknya tidur di rumahnya kerana hari sudah larut malam dan langit kelihatan amat gelap, tanda-tanda hujan akan turun.

Dahlan memberikan alasan bahawa dia ada kerja mustahak yang akan dilakukan keesokan harinya. Sebenarnya dia tidak biasa tidur di rumah orang.