BAB 1

JAM di dinding sudah pun menunjukkan jam sembilan malam. Angin yang bertiup nipis berjaya meloloskan dirinya dicelah-celah bingkai jendela seperti sedang bersiul menyeru namaku.

Bunda yang keluar dari petang tadi belum pulang-pulang. Lauk makan malam sudah aku sediakan. Aku tiada selera makan. Selalunya bunda akan pulang jika sudah lewat-lewat begini.

Bunda sudah tua. Tak larat berjalan jauh-jauh jika pergi ke mana-mana. Harap-harap bunda baik-baik sahaja.

Tiba-tiba pintu rumah diketuk perlahan. Aku yang sedar mulai bangun menuju ke arah pintu. Lantai rumahku yang sudah usang berkeriut apabila dipijak. Jika tersalah langkah, boleh terperelus jatuh ke tanah.

Mujurlah aku sudah cekap. 23 tahun aku tinggal di rumah tersebut. Sejak rumah itu penuh dengan manusia sehingga hanya tinggal aku dengan bunda sahaja.

Setelah sampai di muka pintu, aku menyeka selak pintu yang sudah buruk. Kemudian aku tarik daun pintu perlahan-lahan.

Tetapi aku kaget sebentar. Tiada orang. Aku mula merapati muka pintu untuk melihat keadaan luar rumah. Juga senyap sunyi dengan kehadiran manusia. Shriuhhh!!!

Aku yang terkejut dengan bunyi itu melompat ke bawah rumah seperti kucing yang dipijak ekor. Dengan kelam kabut aku mencari punca bunyi tadi yang datangnya dari tepi tangga.

“Bunda ! Bunda buat apa kat situ? Terperanjat Baem.” Sergahku yang melihat bunda sedang membasuh kaki.

Bunda yang memandang aku tidak berkata apa. Dia hanya tersengeh sehingga menampakkan giginya yang rongak.