PROLOG

“Jaga diri ya abang, saya akan sentiasa mendoakan abang...”

Terkedu aku menatap sms sendiri yang dihantar kepada kekasih hati. Bekas sebenarnya. Terlalu banyak yang aku mengalami dengannya. Dia seorang yang rebel, yang jarang – jarang jumpa seumur hidup aku. Pernah aku punya pacar, tetapi ini lain. Dia seorang yang lain.

Aku membaca lagi mesej pada 14 April, haribulan yang menjadi tragedi bagi cinta kami;

“Saya mohon maaf sebanyak – banyaknya di atas kesilapan saya, mungkin meminta cerai ini barangkali keputusan yang terburuk, maafkan saya abang, melukakan hati abang, mungkin inilah saatnya kejatuhan saya, saya tidak tahu. Tetapi saya harap, abang akan jadi jauh lebih baik dari dulu. Saya sayang abang, cuma kita telah sampai ke titik persimpangan yang asing dan boleh jadi, kita bertemu semula di hujungnya, siapa tahu? Abang jaga diri ya. Saya pohon ampun. Terima kasih kerana menjaga saya. Saya yakin, mungkin abang akan dapat jauh yang lebih baik..,”

Aku tak pernah tengok lagi lelaki yang mencuba mengorbankan masanya, wangnya, kehidupannya untuk orang lain, (mungkin Leon agak sama, tetapi apakah benar aku mencintai Leon, atau aku cuma protes terhadap suamiku?) sepertimana yang dia cuba melakukan. Walaupun percubaannya kadang – kadang gagal, (boleh dikatakan kebanyakan, kerap atau selalu) kerana masanya yang singkat, wangnya yang tak banyak, kehidupannya yang tak begitu terurus, tetapi aku sangat hormat terhadap lelaki ini.

Aku mahu menjadi seperti dirinya sebenarnya. Tetapi tidak dapat. Dia terlalu ligat. Hampir setiap hari pulangnya lewat.

Di luar, hujan mula menitiskan air. Seperti air yang sedang bergenang di mataku, membasah sukma, membasuh raga. Dia sudah pergi. Jauh. Katanya mahu pergi jauh. Mahu menghilang. Mahu terbang jauh. Tak mahu pulang – pulang lagi. Tak mahu wayang – wayang lagi. Tak mahu abang sayang lagi.

Di dalam, tidak ada angin, tidak ada udara dingin, meski kipas berpusing, aircond mendingin, membuat aku kaku memeluk tubuh, berharap tabah.

Aku tak layak untuknya, walau aku mahu menjadi sepertinya.

Dia pemuja kaum miskin, seorang marjinal yang menentang. Asal Muslim, yang mengagumi Abu Dzar, seorang sosok Muslim terawal yang mengisytiharkan perang terhadap pemerasan Muawiyah, pendiri dinasti baru Umaiyah.

Muawiyah jadi takut dengan seorang Abu Dzar ini, lantas memperalatkan Uthman untuk menawan Abu Dzar, menekan Abu Dzar, menjadi seorang lelaki yang stand alone, hidup sendiri, dan mati sendiri. Protes Abu Dzar walaupun nampaknya seorang diri, akhirnya seorang Syi’ah Merah iaitu Dr. Ali Syari’ati mengangkat sosok ini menjadi hero kaum mustadh’afin, melawan mustakbirin. Epik.

Lelaki kabilah al – ghifari ini, yang terkenal sebagai kaum ‘robin hood’ benar – benar menyentuh hati. Kekaguman bekas suamiku.

“Hai Muawiyah! Apabila kau membangun istana hijaumu ini dengan wangmu sendiri, maka hal itu adalah pembaziran, dan apabila kau membangun dengan wang rakyat, maka hal itu adalah suatu pengkhianatan!”

Teriakan ini selalu aku lihat dari air muka dan kerja tindak dia. Tak disangkal lagi, dia memang benar – benar serius dan fokus terhadap pekerjaannya yang itu. Dan aku rasa sedikit sebanyak terpinggir, pekerjaan itu seperti isterinya yang wahid, dan aku seperti madunya sahaja. Aku berasa malu. Kerana tak berjaya untuk menambat hatinya.

Dia selalu mencabar aku, supaya lebih serius, dan lebih rajin. Katanya, kerajinan mampu mengatasi kesarjanaan. Dan dia cuba membuktikan. Seorang drop out yang always against anything. Katanya, kenapa tidak dengan kemahiran kamu, kamu membaca lebih banyak karya dalam bahasa Inggeris, dan cuba menerjemahkan? Katanya, “jika aku jadi kamu, aku akan habiskan masa aku dengan kerja – kerja sebegini, aku sampai tiada masa nak bercinta sebenarnya...”

Dia terlalu serius, seorang pemberontak, dan kadang – kadang, ‘abusive’ aku kira. Dia tidak jahat. Dia yang membimbing aku selama ini. Bertahun sudah kami hidup bersama, terlalu banyak suka, dan kami sama – sama berendam air mata. Keputusan yang aku buat seminggu yang lalu bukan keputusan yang mudah, sayang. Maaf, aku terlalu mencintaimu, tapi aku juga tak dapat bertahan dengan kehidupanmu yang satu ini.

Dan perlahan – lahan aku meraup wajah, mengusap mata sendiri, dan dari satu tapak ke satu tapak, aku meneroka jalanku sendiri. Aku merasakan, aku juga boleh pergi lebih jauh dengan kakiku sendiri, dengan jalanku yang tersendiri. Biarkan kami terus melawan dengan jalan masing – masing. Dia dengan jalannya, yang percaya kebudayaan dan sains kemasyarakatan sebagai alat untuk memecahkan kebekuan umat manusia. Menggunakan bakat penulisannya sebagai senjata untuk mempengaruhi pembaca-pembacanya supaya berani bertindak.

Sementara aku, mulai khayal terhadap sebuah utopia, bahawa manusia akhirnya boleh juga menemukan syurga mereka sendiri, di bumi ini. Tesis Marxist ini, aku gali dengan kawan – kawan bekas suamiku. Mereka benar – benar supportive, dan memberikan galakan. Mereka katakan aku enthusiastic. Punya passion yang menggebu – gebu, terhadap sesuatu yang baru. Aku seorang yang explorer, kata mereka. Sayang, aku jarang, atau hampir tak pernah mendengar motivasi – motivasi ini keluar dari mulut suamiku. Dia seperti tidak mendorong, seperti tidak menggalakkan.

Kemudian aku mendapati, bahawa agama selalu sahaja disalahguna oleh elite – elite yang berkuasa. Aku mula mempercayai, agama sendiri, direka oleh pihak berkuasa, untuk control pemikiran mereka – mereka yang dikuasai. Aku bertengkar dengan bekas suamiku, tentang hal ini. Dia cuba banyak berdiam, dan bertahan. Dia tidak mahu mengeruhkan keadaan. Dia seperti tidak mahu berdebat dengan isteri sendiri. Dia seakan membiarkan, tetapi riak matanya, seperti mencemuh pencarianku, seperti sinis, seperti mengejek – ejek pengembaraanku.

Kami kemudian berdebat, di hadapan kawan – kawan Marxist yang lain, dan dia seperti keseorangan, seperti bersendirian. Dan dia selalu memilih menjadi diri sendiri, seorang diri, menjadi antithesis, mahu jadi ghuraba’, atau noncomformist.

Dia beria mempertahankan liberation theology, walaupun dia tahu, kemungkinan besar, liberation theology, tidak mempunyai mekanisme yang jelas untuk membebaskan umat tertindas dan mempertahankan perlawanan melawan yang penindas. Aku terpaksa respect keberanian dia ini. Sesekali dia menyindir aku secara direct, seperti aku bukan isterinya langsung.

Kata dia, agama itu terpulang kepada siapa interpretornya. Jika yang menafsirkannya, adalah oppressor maka, benarlah bahawa agama itu menindas. Sebaliknya jika yang menafsirkan agama itu adalah emancipator /liberator, maka benarlah bahawa agama itu juga berpotensi untuk membebas.

Dia mengeluarkan sejumlah tokoh dari ingatannya. Dia mengeluarkan Garaudy, dia mengeluarkan Syari’ati, dia mengeluarkan Bani Sadr, dia mengeluarkan Misbach, dia mengeluarkan Sarekat Islam, dia mengeluarkan Malcolm X, Tjokroaminoto dan banyak lagi nama yang kami tidak pernah dengar, bincang dan faham.

Aku tak setuju. Aku ingat lagi di malam itu. Di Restoran Hakeem, tempat kami selalu berdebat. Mamak – mamak disitu selalu menggeleng kepala bila kelompok kami datang. Suara suamiku terlalu lantang. Dia ingat segalanya adalah podium.

Bagiku cakapnya, cakap – cakap kosong sahaja. Cakap – cakap retorik. Cakap – cakap untuk mengumpul crowd, populis.

Dia menjelingku tajam. Tetapi dia tidak menghiraukan aku. Dia hanya memberikan reaksi kepada kawan – kawanku, atau bekas kawan – kawan lamanya. Kata dia lagi, terbukti, jika sejarah manusia, adalah sejarah perjuangan kelas, atau dalam bahasa kamu, dipanggil class struggle, maka Moses melawan Pharaoh dengan keyakinannya, dengan Tuhan Yahweh mereka melawan, dengan Islam, menjatuhkan Shah di Iran, dan di Filipina, Marcos tumbang lewat liberation theology Katolik. Ini bukti, bahawasanya, agama bukan mudah – mudah boleh dikatakan, opium of the masses. Ia adalah terpulang kepada siapa yang melihatnya. Sama ada mahu menjadikan senjata yang membebas, atau senjata yang menindas.

Perlinya, seperti itu jugalah gagasan sosialis. Di tangan Che, akan kelihatan membebas, tetapi di tangan Stalin, Hitler, Kim Jong ?? Kenapa pula kamu tak nak kata bahawa sosialis juga bermasalah? Kenapa di situ, kamu reti pula membezakan antara ide dan orang yang membawa ide?

Bunyi telefon bimbitku. Alina, pendiri sebuah organisasi pemberdayaan sosial.

“Siti Sarah...”, terdengar namaku disebut dalam resah, tak seperti biasa.

“Kenapa, Alina?”, hatiku berdetak seribu. Kebelakangan ini minda aku berserabut celaru.

“Dia dah tak ada...”

Terdengar sedikit nada keluh dan kesal Alina,

Dan aku terjelepuk, jatuh. Entah untuk berapa lama.