BAB 1

Cuti tahunan yang masih berbaki lima hari digunakan Susanti untuk mengikuti Program Jelajah Kampung yang dianjurkan oleh Teguh Berdiri. Dia seorang yang kuat bekerja dan jarang-jarang mengambil cuti tahunan.

Apabila tiba masanya untuk ‘clear leave’, Susanti biasanya suka menghabiskan masanya untuk mengembara dan menyertai program-program khidmat masyarakat.

Semua peserta diminta berkumpul di ‘base camp’ Teguh Berdiri Association di Kuala Lumpur. Sesi ‘ice-breaking’ dimulakan bagi melancarkan perjalanan mereka ke Kampung Hujung Kuala di Perak.

Seramai 17 orang mengikuti program itu yang terdiri daripada lima orang peserta wanita, 12 orang peserta lelaki termasuk tiga orang fasilitator dan seorang kem komanden.

“Hai, nama aku Anita. Kau?” tegur salah seorang peserta wanita di situ.

Susanti menoleh ke arah gadis berambut pendek itu lalu tersenyum sambil menghulurkan tangannya.

“Hai, nama aku Susanti. Asal mana?” tanya Susanti ramah.

“Sedap nama Susanti. Oh, aku asal KL jugak. Kau?”

“Terima kasih, aku asal Perlis. Dalam bas nanti, dudukseat sama dengan akulah. Boleh borak panjang,” balas Susanti sambil menguntum senyum.

“Oh. Ok. Ok, aku suka cadangan kau tu, hehe,” balas Anita menyerigai.

Ketika menaiki bas, tiba-tiba salah seorang peserta wanita yang datang entah dari mana telah memotong barisan Susanti dengan kasar sekali. Mahu sahaja Susanti menyiku wanita itu biar terjelopok di atas tanah. Susanti menoleh wanita itu dan wanita itu hanya menjeling dengan sombong lalu selamba sahaja dia menaiki bas itu tanpa rasa bersalah sedikitpun terhadap Susanti.

“Siapa yang berlagak sangat tu? Nak aje aku benam dalam pasir jerlus!” Anita yang berada di belakang Susanti merungut geram.