Chapter 1

´╗┐Surya : Bab 1

Kaki langit mula bertukar berwarna merah. Matahari semakin hilang di balik bukit-bukit. Semakin gelap. Gelap sebegini juga menjadi mimpi ngeri buat kanak-kanak yang sering dimomokan tentang hantu-hantu kuno Melayu. Tapi, kanak-kanak sekarang berbeza. Azan sudah habis pun masih gila bermain dipadang dan juga dalam semak.

Sudah lewat untuk Surya meninggalkan blok akademik. Rakan-rakannya sudahpun mengemas buku untuk dibawa balik ke bilik. Begitulah kehidupan Surya semenjak masuk ke universiti awam. Buku dan blok akademik sudah ibarat keluarga dan rumah buatnya. Walaupun pihak universiti sudah memberi kemudahan kolej kediaman.

"Surya. Jomlah balik. Dah azan ni..." Adila menyedarkan Surya yang masih menelaah buku dihadapannya.

"Jom Surya..." Salwa yang sedari tadi seakan rimas melekit selepas seharian melepak di blok akademik kerana sibuk dengan kelas dari pagi hingga ke petang. Kini, perlu pula buat kumpulan perbincangan untuk projek akhir semesternya.

"Hmm... yelah."

Selesai mengemas mereka bertiga meninggalkan blok akademik. Perjalanan mereka untuk ke kolej kediaman agak jauh dan mampu mencapai 30 minit jika jalan seperti mak datin. Tapi kerana hari semakin gelap dan pencahayaan kurang baik, mereka berjalan seperti nyonya jogging di pagi hari.

Semasa berjalan memasuki pagar kolej kediaman siswi, tersergam indah sebuah blok lama di atas bukit. Blok yang dibiarkan kosong dan dibiarkan mereput sebegitu. Terlalu usang dan ngeri. Walaupun dipagar, ada saja lubang-lubang kecil yang mampu memuatkan seorang dewasa menceroboh.

Mata Surya tertancap ke bangunan itu. Tajam pandangannya. Seakan ada insan sedang menganjingnya dari tingkat empat.

"Surya... woi. Pandang apa, gila?!" Salwa menegur perilaku Surya. Kerana dia takut dengan tindakan Surya. "Kau jangan pelik-pelik masa maghrib ni. Aku insan lemah."

"Eh... ahh... tak ada apalah Salwa. Aku perhatikan je. Macam syok kalau duduk atas..."

"Kau jangan buat lawak." Adila memotong percakapan Surya. Dia seakan berjaya menghidu keinginan Surya. "Seramlah blok ni. Kau jangan mengada. Kau lupa ke abang, akak senior cerita pasal blok ni?"

"Ahaha. C'mon lah guys. Tu pun belum sahih lagilah. Dah tiga semester kita kat sini. Nothing happen pun." Nada takbur terpamer pada percakapan Surya.

"Amboi, kau. Eh... jomlah. Malam ni nak study lagi." Menjungkit kening Salwa apabila Surya bernada sedemikian.

"Korang, singgah dewan makan dulu jom. Aku lapar." Sambil memegang perut, Adila cuba menunjukkan yang dia kelaparan. Sudah sehari suntuk dia tak makan. Padan muka. Kononnya diet.

Berlalu anak gadis bertiga itu menuju ke dewan makan yang terletak di tengah antara tiga blok A, B dan D. Cuma aneh blok C jauh ke hadapan dan paling tinggi. Mata Surya masih curi-curi memandang blok C hingga blok itu hilang daripada pandangan iris matanya.

***