BAB 9

Belum sampai sehari semalam, Ikhwan dan Naufal kembali lagi ke rumah ibu tua itu. Pondok usang yang menjadi tempat tinggal ibu tua itu telah dibaik pulih, elektrik dan air juga telah disambungkan.

“Apa yang sudah jadi ibu tua? Siapa yang berikan semua kemudahan ini?”

“Yang mulia, Raja Izwan Shah wahai musafir. Baginda telah menitahkan semua ibu tunggal berhak mendapat pekerjaan dan kemudahan tempat tinggal untuk menyara keluarga. Semoga panjang umur, Tuanku!”

Ikhwan menjadi tanda tanya, cepat betul bantuan sampai. “Negeri ini sangat perihatin Naufal!”

“Kalaulah negeri kita juga begini? Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri!” ujar Naufal memujuk diri.

“Siapalah yang mengawal selia keadaan kampung-kampung seperti ceruk ini, tak mungkin Raja sendiri yang turun padang!” Ikhwan termanggu. Dia pelik!

“Kita pun tidak pasti Ikhwan. Sepanjang perjalanan kita, dari hujung negeri ke hujung negeri setakat ini, semua bantuan dan kemudahan lekas sampai. Hinggakan tiada permasalahan dan kesusahan yang rakyat hadapi, negeri ini sangat aman dan damai. Kita suka bermusafir di sini! Betul lah kata orang, ini syurga dunia.”

“Kita dapat rasa sesuatu yang ganjil!”

“Sudahlah, mari kita balik. Kita nak ke istana esok hari, pertandingan itukan sudah mahu bermula. Tuan hamba masih belum berlatih lagi.”

Ikhwan tersenyum. “Kita tahu!”