BAB 3

Pengumuman itu telahpun dikhabarkan kepada rakyat jelata. Ganjaran untuk pemenang dirahsiakan tetapi diumumkan ianya adalah satu ganjaran yang istimewa. Ramai yang mendaftar dan kebanyakkan peserta tahfiz. Setakat ini, tiada lagi sebarang putera raja dari lain-lain negeri yang menyertainya. Raja Izwan Shah bingung!

“Nampaknya, menantu kita nanti hanyalah dari golongan rakyat biasa. Kanda macam mana?” tanya Permaisuri Ashida Nur. Dia tekun membelek koleksi pokok bunga anggeriknya, itulah rutin setiap pagi yang pasti dibuat. Raja Izwan Shah hanya menemani sambil bersantap pagi.

“Kanda terpaksa menerimanya. Hendak diperlakukan bagaimana lagi Dinda, inilah sahaja acara yang terbaik, takkan mahu mengadakan pesta menari pula atau berlumba kuda atau berperang?”

Permaisuri Ashida Nur tersenyum.

“Ampun kurnia tuanku, tuan Puteri Ayra Nur datang mengadap.”

“Dipersilakan.”

Puteri Ayra Nur masuk ke dalam taman bunga itu sambil tersenyum-senyum. Dia mencium pipi ayahanda dan bondanya, lantas duduk di atas kerusi di taman bunga itu.

“Lenakah anakanda beradu semalam?” tanya Raja Izwan Shah.

“Lena ayahanda. Sampaikan bermimpi!”

“Mimpi apa sayang?” tanya Permaisuri Ashida Nur, sambil mengerut dahi. Lantas mendekati anakanda kesayangannya.

“Mimpi kaus kesayangan anakanda diduduki sang kodok. Terkejut anakanda sewaktu mahu memakai kaus itu.”

Raja Izwan Shah memegang dahinya. “Hulubalang!” jerit Raja Izwan Shah. Cepat-cepat hulubalang itu mendekati raja.

“Ampun kurnia tuanku.”

“Mohon memanda menteri panggilkan ahli nujum negeri. Segera!” titah Raja Izwan Shah.

“Baik tuanku. Ampun kurnia tuanku!” Hulubalang itu cepat keluar dari situ, tidak sampai 5 minit, ahli nujum negeri, Al-Dharir dan memanda menteri, Sayid Muzaffar masuk mengadap.

“Tafsirkan mimpi puteri beta, wahai Al-Dharir.”

“Mimpi apa wahai tuan puteri?” tanya Al-Dharir.

“Beta mimpi kaus kesayangan beta diduduki sang kodok.”

“Diduduki atau dicuri?”

“Di dalam kaus itu ada sang kodok.”

Al-Dharir tersenyum.

Raja Izwan Shah memandangnya pelik. “Katakan Al-Dharir. Jangan buat dada beta berdebar.”

“Ampun kurnia tuanku. Itu tandanya, tuan puteri tidak lama lagi akan bertemu jodoh.”

“Benarkah apa yang dikatakan itu Al-Dharir?”

“Mengikut tafsiran patik, begitulah makna mimpi itu.”

Raja Izwan ketawa. ‘Alhamdulillah! Allah perkenankan doa aku siang dan malam.’ bisik hatinya.

“Siapakah gerangannya?” Puteri Ayra Nur tertanya-tanya.

“Siapa-siapa pun dia, ayahanda tidak peduli. Yang ayahanda pasti, sebelum 5 purnama, anakanda akan berkahwin! Memanda menteri, berikan saguhati kepada Al-Dharir, dia telah membuat hati beta senang!” Raja Izwan Shah tersenyum, dia benar-benar senang hati.

“Ampun kurnia tuanku!” ucap Al-Dharir dan Sayid Muzaffar serentak lalu memohon berlalu.

“InsyaAllah, jodoh anakanda pasti orang yang baik-baik.” pujuk Permaisuri Ashida Nur.

“Mana nak tahu orang itu dari golongan yang baik-baik bonda, kalau kita tidak mengenali hati budinya dengan rapat?”

“Bonda dengan ayahanda pun mengenali satu sama lain selepas berkahwin, bahagia saja. Anakanda jangan macam-macam! Ini peraturan negeri, titah ayahanda! Anakanda kena ikut! Jangan bagi ayahanda murka, Puteri Ayra Nur!” tegas Raja Izwan Shah.

Puteri Ayra Nur terdiam menunduk. ‘Ayahanda memang tidak adil!’ Puteri terus berlari kembali ke kamar peraduannya. Setibanya di sana, Hamzah sudah setia menunggu membawa khabar.

“Calon yang menang tilawah itu nanti, akan menjadi calon suami tuan puteri!”

“Apa dia? Benarkah khabar darimu ini Hamzah?” Puteri Ayra Nur terkejut.

“Iya tuan puteri. 100% benar.”

“Beta sudah agak, ayahanda mesti ada muslihat!”