BAB 5

“Kita berehat sahaja di masjid Tuan Puteri? Untung-untung orang itu ada di sana.”

“Sempatkah Hamzah? Nanti kesiangan, tidak sempat pula balik ke istana.”

“Sesudah solat subuh, kita pulang segera.”

“Tapi beta?”

Hamzah melihat Puteri Ayra Nur yang berpakaian lelaki yang sangat lusuh, dia tersenyum. “Jangan risau puteri, patik ada bawa baju bersih.”

Setibanya mereka di masjid, cepat-cepat Puteri Ayra Nur ke tempat wanita. Takut dilihat orang, dia berselindung di sebalik telekung. Dia sempat berpesan kepada Hamzah sekiranya orang yang bersuara merdu itu ada, mohon dia datang ke istana untuk daftar untuk pertandingan tilawah itu. ‘Aku mahu lihat betapa hebatnya suara orang itu!’ detik hatinya.

Sedang Hamzah mengambil wuduk, dua orang musafir tadi menghampirinya.

“Bukankah kita berjumpa di pondok ibu tua tadi?” tanya salah seorang musafir itu. Beliau memperkenalkan dirinya Naufal. Hamzah mengangguk-angguk dan turut memperkenalkan dirinya sebagai Hashim bukan Hamzah, nama samarannya.

“Mana kawan lagi seorang? Bukankah tadi datang berdua?” Tanya rakan Naufal tadi, turut memperkenal diri beliau, Ikhwan. Dia masih teringat-ingat tangan lembut rakan Hamzah tadi, dia masih boleh merasakannya, mirip tangan seorang perempuan!

“Oh, sahabatku Aysar. Dia ke bilik air.”

“Kita baru datang dari bilik air. Tiada orang pun.”

“Mungkin sudah masuk ke dalam masjid. Ayuh!” uja Hamzah tenang. Naufal dan Ikhwan pun menyertai Hamzah. Usai sudah menjalankan solat sunat tahiyatul masjid, cepat-cepat Hamzah mengambil al-quran dan membacanya. Dia tidak mahu Naufal dan Ikhwan menyoal tentang Aysar disebabkan dalam masjid itu cuma ada tiga orang sahaja.

Ikhwan bangkit ke depan mengalunkan azan sesudah masuk waktu subuh. Puteri Ayra Nur terpesona dengan suara itu! Nyatanya itulah pemilik suara merdu itu, Hamzah juga menghayatinya. Wajah Ikhwan kalau dibandingkan dengan Naufal, Ikhwan berkulit agak gelap. Walaupun begitu, suaranya sangat merdu, seperti sahabat nabi, Bilal bin Rabah. Hamzah jadi serba salah untuk mengajak Ikhwan menyertai pertandingan itu, kalau menang, dia akan menjadi pasangan hidupnya Puteri Ayra Nur! Mahukah dia? Mahu tak mahu, kerana titah sang puteri, setelah usai mengerjakan solat subuh, Hamzah bingkas bangun menyuarakan hasrat tuan puteri.

“Di mana sahabatmu Aysar? Tidak kah dia bersembahyang.” Lain yang ditanya, lain pula yang dia jawab. Hamzah mengelengkan kepala, adakah dia ini songsang? ‘Minat kepada lelaki atau dia ini mengetahui sesuatu yang aku tidak tahu?’

“Tadi ada bersama-sama bersolat jemaah. Cuma dia keluar awal, sakit perut.”

Ikhwan mengelengkan kepalanya. “Kasihan. InsyaAllah, wahai Hashim, kita akan datang mendaftar ke istana nanti.”