BAB 4

Azan subuh kedengaran memecah keheningan pagi. Kemerduan suara itu, yang nyatanya membangkitkan tidur penduduk kampung di situ. Semua tertanya-tanya gerangan siapa yang mengalunkan azan itu, begitu merdu sekali sehingga kesemuanya bangkit bersolat.

Setelah kesiangan, Tok Ketua mendatangi Tok Imam di rumahnya, “Siapakah gerangan pemuda yang mengalunkan azan subuh tadi pak imam?” tanya Tok Ketua kampung itu.

“Oh! Itu orang dagang dari seberang. Dia sudahpun beredar selepas solat subuh jemaah tadi.” jawab Tok Imam.

“Sedap betul suaranya! Kalau dia dari kampung kita, boleh kita hantarkan dia ke pertandingan tilawah Al-Quran di istana raja. Bak kata orang, ikhtiar menjalani, untung menyudahi. Mana kita tahu, tuah dia, tuah kita juga!” ujar Tok Ketua.

Tok Imam tersenyum, “Kita pun tak tanya dia dari mana. Nanti-nanti dia ke mari lagi, kita tanyakan.”

Begitulah setiap pagi, dari satu kampung ke satu kampung! Semuanya tertanya-tanya siapakah yang mengalunkan azan itu setiap subuh. Khabar itu telah sampai ke telinga Puteri Ayra Nur. Dia teruja, dia mahu tahu siapakah gerangan yang bersuara merdu itu!

“Hamzah, beta mahu menyamar malam ini. Sediakan keperluan beta!”

Malam itu sebelum pagi menjelang, puteri menyiapkan diri berpakaian seperti seorang musafir. Setia bersamanya ialah pengawal juga merangkap penasihatnya, Hamzah. Manakala Zakiyah tidur di peraduannya, menyamar sebagai dirinya. Melalui pintu rahsia, Puteri Ayra Nur dan Hamzah dapat keluar dari istana tanpa dilihat oleh pengawal yang mengawal istana.

Sudah beberapa jam berjalan, Puteri Ayra Nur terhenti di hadapan sebuah pondok yang amat buruk. Hanyalah diterangi oleh cahaya lampu pelita sahaja.

“Setahu beta Hamzah, negeri Shah Inderapuri tiada kekurangan. Semua ceruk rantau mendapat bekalan elektrik dan air yang cukup. Kampung apakah ini Hamzah?”

“Ini Kampung Shah Suria. Setahu patik, tuan puteri, kampung ini memang sudah diberi bantuan bekalan elektrik dan air yang cukup. Ianya telah termasuk di dalam Rancangan Pembangunan Shah Inderapuri ke-10, tuan puteri. Sekarang sudah rancangan ke-15!” ujar Hamzah.

Puteri Ayra Nur mengangguk-angguk tanda faham. Dia menghampiri pondok itu lalu memberi salam. Pintu pondok itu dikuak. Seorang ibu tua bersama dua orang anaknya berdiri di muka pintu.

“Boleh kami meminta sedikit air?” ujar Puteri Ayra Nur bersuara lelaki. Dia sengaja buat-buat batuk, meminta simpati. Melihat keadaan itu, anak kecil yang baru berusia 5 tahun berlari mengambil secangkir air. Puteri Ayra Nur membuka sarung tangannya, mahu mengambil air dari budak itu.

“Maaf, ini sahaja yang kita ada. Air di telaga belum lagi boleh kita ambil, airnya masih jauh ke bawah. Tunggu hujan sahaja, baru airnya banyak.”

Puteri Ayra Nur yang mahu minum, dibatalkan niatnya. “Tidak mengapalah, kita bukan dahaga sangat.” Secangkir air itu dikembalikan semula.

“Boleh kita tanya, apakah negeri ini ada kekurangannya? Bukankah negeri ini sudah berikan banyak kemudahan? Mengapa cuma pondok ini yang tiada kelebihan?” tanya Puteri Ayra Nur mahu tahu.

“Suami kita baru meninggal. Dulu ada bekalan, cuma bila duit sudah habis, bil tidak boleh dibayar, bekalan dimatikan.” cerita ibu tua itu.

Sedang ibu tua itu menceritakan perihalnya, datang dua orang musafir ke pondoknya meminta air. Dua musafir itu bersalam dengan Hamzah dan Puteri Ayra Nur. Sewaktu mahu bersalam, puteri terlupa untuk memakai sarung tangan. Tangannya halus, mulus dan lembut itu membuatkan salah seorang dari musafir itu memerhatikannya serius, dipandang tajam. Puteri Ayra Nur berasa serba salah! Takut penyamarannya diketahui umum, dia meminta diri dan pergi bersama Hamzah.

“Siapakah musafir itu wahai ibu tua? Dari manakah mereka datang?” Tanya musafir itu.

“Kita tak tahu. Kita tak sempat pula tanya!”

“Tidak mengapalah. Boleh kita tahu di sini di mana masjidnya?”

“Di tengah kampung, hampir dengan pekan. Kira-kira 30 minit perjalanan.”

“Terima kasih ibu.”