BAB 13

Puteri Ayra Nur pelik. Khabar yang diberitakan oleh ayahanda itu menjadi tanda tanya. ‘Apakah ada muslihat lagi, ayahanda ini?’ detik hatinya.

“Tidak jadi bertunang? Majlis pertunangan dan perkahwinan dilansungkan serentak setelah sambutan Aidilfitri? Betulkah Hamzah?” tanya Zakiyah.

“Begitulah titah baginda.”

Zakiyah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Senget benget tudung yang dipakainya. Sepersalinan indah buat sang puteri untuk dipakaikan pada majlis pertunangannya hari ini, sudahpun disiapkan.

“Kalau beta tanya bonda pun, bukannya dia peduli! Ayahanda itu orangnya perahsia, apa yang dirancangkan semua di dalam otaknya.” bentak Puteri Ayra Nur. “Bagaimanakah caranya untuk patik bertemu dengan bakal suami beta? Bahkan nombor telefon pun, beta tak ada! Beta mahu tahu apa yang dikhabarkan pada ayahanda sehingga ayahanda boleh merubah keputusannya.”

“Sabar tuan puteri. Mungkin baginda punya alasannya sendiri.” ujar Hamzah.

Puteri Ayra Nur merengus geram. ‘Sengaja sakitkan hati! Kalau iya pun, janganlah berbincang sebelah pihak, masih ada lagi satu pihak!’

“Tidak mengapalah, bulan-bulan puasa ini kita tidak digalakkan marah-marah. Nanti kurang pahala! Kita redha sahaja!” Puteri Ayra Nur menarik nafas dalam-dalam.

“Hamzah, malam ini selepas terawih, kita keliling kampung ya? Kali ini beta mahu menyamar seperti seorang saudagar, beta mahu bersedekah. Sempena mahu menyambut perayaan Aidilfitri ini, beta mahu berikan sedikit duit kepada rakyat yang memerlukan bagi membeli keperluan hari raya yang bakal menjelang.”

“Semoga panjang umur tuan puteri!” ujar Zakiyah.