BAB 15

Sehingga Aidilfitri menjelang, tiada sebarang kelibat, pesanan atau apa-apa pun dari Ikhwan kepada Puteri Ayra Nur. Kali terakhir berjumpa pun sewaktu pemberian sedekah, itu pun Puteri Ayra Nur menyamar sebagai seorang lelaki. Dapat rasakan debaran apabila Ikhwan bersalam dengannya dan mata itu! Seperti yang dia pernah lihat…

“Cantik kah bonda?”

“Cantik anakanda.”

“Apakah anakanda rasakan sekarang? Teruja, bahagia?”

“Entah, anakanda tidak dapat pastikan apa yang anakanda rasa. Sedih ada, gembira ada, marah ada, geram ada, semuanya berbaur-baur!” Dia berasa sedih kerana akan meninggalkan zaman bujangnya, dia berasa gembira kerana bakal menempuhi hidup berumahtangga, dia berasa marah dan geram pada Ikhwan kerana hilang khabar dan tiada berita! Sudah dapat enggang, dibiarkan enggang terbang sendirian!

“Pengantin sepatutnya membuangkan semua perasaan lain kecuali rasa bahagia!” sampuk Zakiyah sambil membetulkan mahkota yang dipakai Puteri Ayra Nur.

Puteri Ayra Nur hanya tersenyum. ‘Yang lepas biarkan lepas, hari ini hari bahagia aku! Mengapa aku masih tidak sedap hati ini… Ada apa-apa jadi pada Ikhwan ke? Walaupun aku masih geram terhadapnya, aku masih tidak mahu terjadi apa-apa terhadapnya. Walaupun hitam, diakan bakal memegang takhta Shah Inderapuri! Bakal suamiku…’ detik hatinya.

Mesej di dalam telefon bimbitnya, masuk tidak berhenti-henti. Ramai-ramai mengucapkan tahniah kepadanya. Digapainya telefon itu, dibaca mesej yang terakhir yang masuk.

-Selamat Pengantin Baru – Ikram

Puteri Ayra Nur tersentap. Jodoh yang tidak menjadi! Apa boleh buat, sejak pertandingan dulu, tidak pernah dia mendengar khabar Ikram, puteri sendiri tidak mahu peduli! Takut nanti terbit perasaan lain pula. Sudah tentu dia dengan Ikhwan, apa lagi mahu dicari? Biarlah…

Di dalam masjid Izhar Shah, masjid negeri yang di ambil nama sempena nenda Puteri Ayra Nur, Puteri Ayra Nur berdebar menunggu majlis pertunangan dan perkahwinan dilangsungkan. 11 bekas hantaran yang digubah begitu indah sekali berwarna kuning keemasan, manakala 7 hantaran balasan dari pihak lelaki, berwarna ungu juga cukup indah. Dihiasi dengan bunga-bunga lavendar yang baunya menusuk ke hidung, sangatlah wangi dan berseri. Puteri Ayra Nur mengerut dahi, sungguh hebat hantaran daripada insan biasa yang bernama Ikhwan!

“Ayahandakah yang merancang semuanya ini? Hantaran ini ayahandakah yang menyuruh orang menghiasinya untuk Ikhwan?”

Zakiyah mengelengkan kepalanya, “Setahu hamba, ini semua dari Ikhwan.”

Upacara pertunangan berlansung, semua siaran televisyen juga mendapat hak penyiaran bagi setiap majlis di Shah Inderapuri untuk merakamkan detik-detik bersejarah ini. Raja Izwan Shah dan Permaisuri Ashida Nur tersenyum tidak berhenti-henti. Bonda Ikhwan yang berpakaian serba indah, menyarungkan cincin ke jari manisnya. Puteri Ayra Nur mencium tangan bakal bonda mertuanya. Cantik betul bonda mertuanya, semua yang hadir di situ menyembah hormat, seperti dia merupakan seorang permaisuri. Puteri Ayra Nur menjadi pelik.

Usai sudah upacara pertunangan, Puteri Ayra Nur menukar sepersalinan berwarna putih yang sarat dengan labuci dan manik-manik yang berkilauan. Bercahaya-cahaya seperti bidadari dari syurga apabila Puteri Ayra Nur duduk di atas pelamin kecil itu. Cantik sungguh sang puteri tidak terkata, bagaikan bidadari turun dari kayangan, pabila memandang tidak berpaling mata, jatuh ke hati bercinta jangan!

Pengantin lelaki memberi salam. Bidai yang menghalang antara pengantin perempuan dan pengantin lelaki, menyebabkan Puteri Ayra Nur tidak boleh melihat wajah bakal suaminya. Puteri Ayra Nur kerinduan laksana jentayu menantikan hujan, sudah lama dia tidak menemui Ikhwan, apakah riaksinya? Gembirakah dengan pernikahan ini? Lamunan Puteri Ayra Nur tersentak setelah imam besar masjid negeri mahu memulakan upacara pernikahan.

Dengan tenang… “Aku nikahkah dikau Putera Shahrul Ikram Ikhwan bin Raja Shahrul Izham dengan Puteri Ayra Nur binti Raja Izwan Shah dengan berwakil walikan aku, dengan mas kahwinnya berjumlah SI$3,000 tunai.”

“Aku terima nikahnya Puteri Ayra Nur binti Raja Izwan Shah dengan mas kahwinnya seperti yang tersebut.” ucap Putera Shahrul Ikram dengan tenang. Sekali lafaz sahaja dia sudah menjadi milik Puteri Ayra Nur.

Ketiga-tiga saksi mengesahkan pernikahan itu dan masing-masing menadah tangan mengaminkan doa imam besar masjid negeri, Puteri Ayra Nur terpana. Putera Shahrul Ikram Ikhwan? Ikram adalah Ikhwan?

Putera Shahrul Ikram bangun mendekati Puteri Ayra Nur untuk upacara membatalkan air sembahyang.

Putera Shahrul Ikram duduk berdepan dengan Puteri Ayra Nur, dia tersenyum sambil mengenyit matanya. Dia menyerahkan mas kahwin itu kepada Puteri Ayra Nur.

“Kanda tukang tilik yang hebat, bukan?” bisik Putera Shahrul Ikram.

Puteri Ayra Nur buat tidak tahu, buat kering! Dia terasa tertipu. Patutlah sewaktu dia melihat mata Ikhwan dahulu seakan dia pernah melihat mata itu, rupanya mata Ikram!

Puteri Ayra Nur bersalam dan mengucup tangan Putera Shahrul Ikram setelah suaminya itu menyarungkan cincin di jarinya. Putera Shahrul Ikram mengucup dahi sang isteri yang masih lagi terkejut.

“Tukang tilik yang menyakitkan hati!”