BAB 16

Pintu kamar beradu yang serba indah dibuka, dengan wangi-wangian bunga ros menusuk ke hidung, Putera Shahrul Ikhwan tersenyum melihat sang isteri yang masih bertudung litup, berpakaian nikah duduk menghayun kaki di atas geta peraduan. Putera Shahrul Ikhwan mendekati isterinya.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

“Apa merah di dalam padi, pucuk kandis digulai asam, apa marah di dalam hati, muka manis ditarik masam.”

“Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula!”

Putera Shahrul Ikram tergelak. “Beritahu kanda apa yang bersarang di hati adinda? Kanda akan jawab semua persoalan, semuanya, tiada satu pun akan tertinggal!”

“Cerita perihal Ikhwan?” ujar Puteri Ayra Nur.

“Si musafir bermuka hitam, bertangan dan berkaki putih! Kanda menyamar menjadi Ikhwan untuk melihat keadaan negeri Shah Inderapuri yang selalunya aman dan damai. Tidak seperti Merak Kayangan, walaupun tiada rusuhan, tetapi tidak semasyhur Shah Inderapuri. Jadi, kanda dan Naufal merantau setiap pelusuk negeri Shah Inderapuri untuk mengetahui selok-belok pentadbirannya.”

Puteri Ayra Nur tersenyum di dalam hati! Maknanya, tiadalah sampai ke pengetahuan suaminya yang sebenarnya dia juga menyamar untuk mendekati rakyatnya! ‘Nasib.. tak tahu!’

“Lagi apa yang dinda nak tahu?”

“Siapa peserta nombor 50 itu sebenarnya? Naufal?”

“Ikram juga. Ikram yang sakit tekak! Mana tak sakit tekak dinda, kanda jadi dua peserta dalam satu pertandingan! Naufal hanya menyamar menjadi Ikhwan sewaktu majlis perasmian.”

Patutlah waktu itu, mata Ikhwan nampak lain! Puteri Ayra Nur tergelak. “Jadi, kenapa kanda lakukan semua itu?”

“Menawan hati sang puteri yang sudah tertawan.”

“Sampai begitu sekali?”

“Sekali untuk menguji! Kalau elok rupanya dengan buruk rupanya, apa yang dicari, apa yang dipilih? Ternyata, kanda tidak silap pilih. Hati dinda memang ikhlas. Yang putih dilayan sama dengan yang hitam.”

Puteri Arya Nur tersenyum. “Lalu, bagaimana kekanda tahu yang adinda akan memilih peserta nombor 50?”

“Nasib sahaja! Kekanda kan tukang tilik!” Putera dan puteri itu seraya ketawa.

“Apakah ini semua ayahanda sudah tahukah?”

“Tujuan kanda berjumpa dengan ayahanda, adalah untuk menceritakan siapa Ikhwan sebenar dan mempercepatkan tarikh perkahwinan.”

“Jadi ayahanda sudah tahu??” ‘Patutlah ayahanda suka hati sahaja!’

Putera Shahrul Ikram mengangguk. “Masih ada rasa gundah di hati?” tanya Putera Shahrul Ikram kepada isteri yang baru dinikahinya.

Puteri Ayra Nur mengelengkan kepalanya.

“Sudikah menerima kekanda sebagai pasangan hidup adinda?”

“Sudah tentu seribu kali sudi!”

Putera Shahrul Ikram membuka perlahan-lahan mahkota yang menghiasi kepala sang isteri, kemudian dibuka hijab yang menutup rambutnya, diusap-usap rambut panjang Puteri Ayra Nur. Rambut puteri yang cantik dicium sang putera seraya itu tubuh sang puteri di bawa jatuh ke atas geta peraduan yang empuk. Putera Shahrul Ikram mencium mesra dahi isterinya…

“Tidurlah puteri kesayanganku… agar lena tidurmu, di sisi puteramu, yang dikasihi selalu!” bisik sang suami.