BAB 17

Hampir setengah purnama berkahwin, selang dua tiga malam, Putera Shahrul Ikram terjaga malam, tiada sang isteri di ranjang. ‘Ke mana perginya adindaku Ayra?’ bisik hatinya.

Tiba-tiba, Puteri Ayra Nur masuk dengan berpakaian lelaki senyap-senyap membuka pakaian samarannya dan menyembunyikannya kembali ke dalam almari. Gerak geri Puteri Ayra Nur diperhatikan di sebalik selimut oleh sang suami. Kemudian, Puteri Ayra Nur menukar pakaiannya kepada pakaian tidur dan menyelinap masuk ke dalam selimut.

‘Seperti biasa aku lihat pakaian itu! Betul kah tekaan aku selama ini?’ bisik hati Putera Shahrul Ikram.

Selang dua malam, Puteri Ayra Nur mendapat tahu, terdapat kesusahan di Kampung Shah Purnama kerana banjir yang melanda. Puteri Ayra Nur menggesa Hamzah menyiapkan baju samarannya. Malam itu, Puteri Ayra Nur tidur seperti biasa, tepat pukul 1.00 pagi, setelah dilihat Putera Shahrul Ikram tidur dengan lena, dia pun bingkas bangun.

Dia bangun perlahan-lahan, tiba-tiba dia terjatuh.

“Aduh!” Puteri Ayra Nur melihat ada tali panjang di ikat dipinggangnya. ‘Tali apa pula ini?’

“Sayangku Ayra Nur, hendak ke mana?” tanya Putera Shahrul Ikram yang sudah bangun, duduk di atas geta peraduannya. Dia menarik perlahan-lahan tali yang mengikat pinggang isterinya. Puteri Ayra Nur berjalan gontai mengikut tarikan tali oleh suaminya. Dia merasakan serba salah!

“Selama ini, benarkah adinda yang menyamar sebagai Aysar dan Azhar untuk bertemu dengan rakyat?”

“Si musafir yang miskin dan si saudagar yang kaya, iya suamiku! Bersama dengan Hamzah. Bukannya untuk bersuka tetapi keluar untuk membantu rakyat.”

Putera Shahrul Ikram tersenyum. “Betul lah tekaan kanda selama ini, sejak memegang tangan sewaktu di rumah ibu tua dahulu dan dari lembutnya tangan itu serta mata yang cantik ini melihat, kanda sudah agak, itu adinda! Kanda sudah tahu itu adinda sejak pertama kali kita berjumpa di istana. Sengaja kekanda mahu menyentuh tangan adinda, ternyata sangkaan kanda ini benar. Adinda ini kaya hati, Shah Inderapuri masyhur bukan kerana rajanya tetapi kerana puterinya. Kanda tak marah malah bangga dengan adinda, bangga beristerikan adinda, seorang wirawati!”

Puteri Ayra Nur ketawa. “Tidaklah sampai ke wirawati tu kanda!”

“Tak kiralah, kalau kanda Batman, adinda Catwomen nya!”

Mereka tertawa lagi. “Ini adinda hendak ke mana?”

“Ke Shah Purnama, menolong mangsa banjir di sana.”

“Kanda ikut!”

Puteri Ayra Nur tersenyum.

“Lepas ini sayang, jangan tinggalkan kanda beradu seorang, patutlah rasa sejuk sepanjang malam!”

“Apalah kanda ni!” Puteri Ayra Nur tersenyum.

Sungguh murni pekertimu, tidak lena beradumu walau kamar bertahta emas, bila rakyatmu bersusah hati, dan tidur lenalah puteriku, aku disisi selalu menemani. Engkaulah wirawatiku, permaisuri hidupku, biar lena tidurmu, ku pasti indahnya esok harimu… Beradulah engkau di sisiku.