BAB 7

Puteri Ayra Nur memakai gaun lace dari Perancis dan dipadankan dengan tudung berwarna turqoise sesuai dengan bajunya. Di iringi oleh dayang kesayangannya dan penasihatnya, mengadap raja.

“Ampun kurnia tuanku, anakanda datang mengadap.”

Raja Izwan Shah tersenyum. “Mari ayahanda kenalkan Putera Shahrul Ikram, putera raja dari Merak Kayangan. Satu-satunya putera yang mendaftar ke pertandingan tilawah itu yang bakal di adakan dua hari lagi.”

Putera Shahrul Ikram bingkas bangun dan melemparkan senyumnya kepada Puteri Ayra Nur. Puteri Ayra Nur membalasnya mesra. ‘Betul kata Zakiyah, senyumannya sangat manis sekali.’

“Berbual lah dahulu anakanda berdua, ada hal yang perlu beta uruskan. Minta diri dulu ya! Mari adinda, mari semua.” Kesemua isi ruang tamu itu beredar, termasuk Hamzah dan Zakiyah seperti titah raja.

‘Ada-ada sahaja ayahanda ni!’ bentak hati Puteri Ayra Nur.

“Wajah tuan puteri seakan letih!” ucap Putera Shahrul Ikhwan.

“Pucatkah?” Puteri Ayra Nur memegang wajahnya. ‘Betulkah nampak letih?’

“Tidaklah pucat, nampak keletihan sahaja. Tidak cukup tidurkah malam tadi Puteri? Hemm… menjadi pengawal malam?”

Puteri Ayra Nur tergelak. ‘Macam tahu-tahu sahaja!’ “Tuan hamba apa kurangnya, cakap kita pulak!”

“Macam mana mata nak tidur, daun pauh jatuh melayang, macam mana mata nak tidur, dari jauh nampak bebayang!” ujar Putera Shahrul Ikram.

“Hemm… apakah tidur tak lelap, makan tak kenyang? Memikirkan masalah negeri atau masalah peribadi?” Sengaja Puteri Ayra Nur mengalihkan topik penceritaan. Adat lelaki! Pantang melihat yang berdahi licin. Belum apa-apa lagi, luahkan perasaan! Meluat…

“Kita cakap lain, dia cakap lain.” Putera Shahrul Ikram mencebik.

“Sudah siapkah persiapan tuan hamba untuk pertandingan ini?”

“Laksana sebuku gaharu, sukat dibakar makin berbau.” ujar Putera Shahrul Ikram dengan lagaknya. Geram rasa hati Puteri Ayra Nur. ‘Cakap besar!’

“Jangan sedikit hujan, banyak yang basahnya pula.”

“Amboi, belum cuba belum tahu, tuan Puteri. Takut nanti, tidur malam termimpi-mimpi, tidur siang teringat-ingat!” ujar Putera Shahrul Nizam sambil ketawa.

Puteri Ayra Nur juga tertawa. ‘Pandai pula putera ini berkata-kata. Asal diberi, asal menerima!’

“Tuan hamba petahnya berkata-kata, apa lagi kebolehan tuan hamba? Kita hendak tahu juga, manalah tahu boleh belajar.”

“Kita pandai menilik tapak tangan. Mahu kita lihat?”

Puteri Ayra Nur teragak-agak memberi tangannya.

“Betul, kita tak tipu. Kita janji pada tuan hamba, kita lihat sahaja.”

“Betul ni?”

“Iya!”

Puteri Ayra Nur membuka sarung tangannya. Diletakkan tapak tangannya di atas meja berdepan dengan Putera Shahrul Ikram. Putera itu mengambil tangan puteri dan diletakkan di atas ribanya. Tangannya bersentuhan. Puteri segera menarik tangannya.

“Tadi kata tidak mahu bersentuh?”

“Maaf kan kita. Kita tak ulang lagi, tadi tidak sengaja. Letak sendiri di atas riba kita.”

“Janji?”

“Janji!”

Puteri Ayra Nur seraya meletakkan tangannya di atas riba Putera Shahrul Ikram.

“Jodoh tuan puteri akan sampai tidak lama lagi.”

“Itu percakapan seperti ahli nujum istana kita, cuba kalau bijak, orangnya seperti apa?”

“Mukanya hitam ibarat arang, tangan dan kakinya putih ibarat kapas.”

“Arghh… ada ke manusia seperti itu? Bohonglah tuan hamba ni.” Puteri Ayra Nur menarik tangannya kembali.

Putera Shahrul Ikram tergelak. “Kenapa pula tiada? Bukankah semua itu kejadian Allah SWT. Apakah kalau seseorang itu buruk rupanya, tuan hamba tidak mahu walaupun itu sudah ketentuan Allah?”

“Iya, kalau sudah jodoh, kita terima saja. Tapi, kalau diberi pilihan, kenapa mahu pilih yang buruk?”

“Tunggul itu kalau dipakaikan, elok juga!”

“Macam-macamlah tuan hamba ini!”

Putera Shahrul Ikram tersenyum. ‘Betul juga, kalau ada pilihan, kenapa mahu pilih yang buruk??’

“Betulkan semalam, tuan puteri tidak berjaga malam, mengawal negeri?” tanya Putera Shahrul Ikram.

“Mengapa?”

“Tak ada apalah… sahaja kita bergurau!”