BAB 6

Hamzah termenung. Bagaimana harus disampaikan pada tuan puteri yang orang itu hitam sekali wajahnya! Tidak padan, bukan bagai pinang pulang ke tampuk, bukan juga seperti cincin dengan permata, tidak pula ibarat bulan dipagar bintang! Tuan puteri, putihnya melepak seperti kapas, Ikhwan? Hitam ibarat arang!

“Cantik kah orangnya?” tanya Zakiyah.

“Hitam-hitam gula jawa! Yang kita pelik, mukanya sahaja hitam, tangannya, kakinya putih seperti kapas.” jawab Hamzah. Zakiyah mengerut dahinya, ‘adakah manusia seperti itu?’

“Sudah dikhabarkan kepada tuan puteri?”

“Belum. Masih tiada kesempatan. Tadi pulang agak kesiangan. Tuan puteri mana?”

“Di peraduan, sedang beradu. Mungkin keletihan.”

Sedang mereka berdua berbual-bual, memanda menteri datang dalam keadaan yang tergesa-gesa. Hamzah dan Zakiyah memandang kehairanan.

“Di manakah gerangannya Puteri Ayra Nur?”

“Sedang beradu, mengapa memanda menteri Sayid Muzaffar?”

“Putera dari negeri Merak Kayangan sudah mahu tiba, apa tuan puteri tidak bersiap rapi lagi kah dayang?”

Zakiyah mengerut dahi. “Tiada seorang pun memberi khabar! Tidak mengapa memanda menteri usah khuatir, hamba akan segera mengejutkan tuan puteri.”

“Cepat! cepat… nanti raja murka!”

Zakiyah bingkas bangun mengejutkan Puteri Ayra Nur yang nyenyak beradu akibat berjalan lamanya, keletihan. Lenguh-lenguh kakinya, masih belum hilang, saki-sakit badannya, masih belum pudar!

“Siapa putera dari Merak Kayangan? Apakah beta kenal?” Puteri Ayra Nur bangun terpisat-pisat.

“Setahu hamba, namanya Putera Shahrul Ikram, cantik sekali orangnya, putih sungguh kulitnya, manis betul senyumannya dan cerdas sekali mindanya.” ujar Zakiyah. Dia masih ingat sewaktu putera itu datang bercemar duli bersama rombongan dirajanya. Sewaktu itu, Puteri Ayra Nur sedang sibuk berkuliah, tiada kesempatan untuk menemui putera itu.

“Hemm… kalau sudah lawa orangnya, buat apa lagi datang ke mari! Bak kata P Ramlee, sekali petik sepuluh yang datang.”

Zakiyah tergelak. “Sudahlah tuan puteri, kelak kalau lambat, raja akan murka.”

Puteri Ayra Nur mengeluh, lantas bangun ke kamar mandi untuk bersiram, sambil Zakiyah menyediakan sepersalinan indah untuknya.