BAB 12

“Ampun kurnia tuanku, sebelum diumumkan pemenangnya, Yang Mulia Raja Izwan Shah akan mengumumkan hadiah istimewanya, dipersilakan Yang Mulia.”

Raja Izwan Shah bingkas bangun dan memulakan ucapannya dengan salam.

“Beta dengan ini mengumumkan barang siapa yang memenangi acara ini yang julung-julung kali dilakukan di Shah Inderapuri ini, akan beta kahwinkan pemenang ini dengan puteri tunggal beta iaitu Puteri Ayra Nur.”

Semuanya terkejut, tetapi tidak Puteri Ayra Nur. Dia sudah tahu dan dia tidak mahu menghalang keputusan yang dibuat oleh ayahandanya. Bagi Puteri Ayra Nur, sememangnya kalau dilihat dengan mata kasar, memanglah ayahanda tidak adil, tetapi secara halusnya, Puteri mengaku yang ayahanda memang bijak! Kalau mahu dikahwinkan mestilah orangnya pandai membaca Al-Quran, orang yang mendekati Al-Quran adalah orang mendekati Allah, pasti dia seorang yang rajin bersolat. Ayahanda juga bijak menyuruh dia sendiri menjadi pengadilnya, maknanya Puteri sendiri yang memilih pasangan hidupnya!

Puteri Ayra Nur tersenyum. Rata-rata ada yang rugi tidak masuk pertandingan dan yang masuk bertanding pula rata-ratanya mengeluh kerana tidak berbuat dengan betul! Puteri Ayra Nur berdiri di sebelah ayahandanya.

“Pemenangnya ialah peserta bernombor 50, dipersilakan ke pentas.”

Ikhwan, si musafir yang bermuka hitam, bertangan dan berkaki putih, naik ke pentas perlahan-lahan.

“Siapakah peserta bernombor 23?” tanya Puteri Ayra Nur kepada Hamzah.

“Putera Shahrul Ikram.” bisik Hamzah. Kelibat Putera Shahrul Nizam sudah berlalu pergi, hanya nampak dari belakangnya sahaja. ‘Mesti dia terasa sedih di hati! Kalau sudah tiada jodohnya?’ bisik hati sang Puteri.

Raja Izwan Shah tersenyum kelat. ‘Si hitam ini?’ Raja Izwan Shah memandang puterinya.

“Sekiranya anakanda tidak mahu, ayahanda tidak akan menghalang!”

“Ayahanda! Ayahandakan seorang raja yang adil dan saksama, tindakan ayahanda ini akan memalukan satu Shah Inderapuri, menyapu arang di muka kita. Ini keputusan sudah dibuat, hendak tak hendak, kita kena terima. Anakanda redha dengan jodoh anakanda.” tegas Puteri Ayra Nur. “Lagipula, inikah yang ayahanda mahukan.” Puteri Ayra Nur memulangkan paku buah keras kepada Raja Izwan Shah. Permaisuri Ashida Nur hanya mengelengkan kepala melihat tingkah anak beranak itu.

“Ampun kurnia tuanku!” sembah Ikhwan.

“Dengan ini beta umumkan majlis perkahwinan anakanda beta dengan pasangannya akan diadakan 2 hari sebelum hari keputeraan beta. Majlis pertunangan akan diadakan esok hari.”

Ikhwan menghampiri Raja Izwan Shah. “Sebelum majlis besok, izinkan hamba berjumpa dengan tuanku sebentar.”

“Diperkenankan.”

Usai acara yang gilang gemilang itu, Raja Izwan Shah yang diiringi Permaisuri Ashida Nur berlalu keluar dari dewan itu. “Semoga panjang umur Tuanku. Daulat Tuanku!!” jerit orang di dalam dewan itu.

Puteri Ayra Nur menghampiri Ikhwan. Dia merenung mata Ikhwan, ‘mata itu!’ bisik hatinya.

“Apa yang direnungkan pacal yang hina dina ini, tuan puteri? Anak cina pulang ke China, sampai di China menjual arang, sudahlah miskin lagi hina, jauh beza dari orang!” ujar Ikhwan merendah diri.

Puteri Ayra Nur tersenyum. “Hitam-hitam si tampuk manis, bunga kemuning luruh di hulu, hitam-hitam ku pandang manis, putih kuning tinggal dahulu.”

Ikhwan ketawa.

Puteri Ayra Nur berkerut dahi, ‘ketawa itu!’

“Kita pernah berjumpa ke?”

“Siapalah patik hendak berjumpa dengan puteri secantik tuan puteri, mungkin dalam mimpi! Sekarang ini, kalau boleh minta dicubit, takut-takut kita bermimpi! Ya lah, mana mungkin pipit meminang anak enggang.”

“Tak ada gunung yang tinggi tidak dapat di daki, tak ada lurah yang dalam tidak dapat dituruni.” ujar Puteri Ayra Nur. “Kita minta diri dahulu.”

“Dipersilakan tuan puteri.”