BAB 8

Hamzah menceritakan perihal Ikhwan, musafir yang bersuara lunak itu kepada tuan puteri. Puteri Ayra Nur terdiam! Di dalam hatinya, terdetik, benarkah apa yang dikatakan oleh Putera Shahrul Ikram tadi?

“Kalau benar itu jodoh beta, apakah sejujurnya patik akan mencintainya? Kerana suaranya bukan kerana rupanya! Ikhlas kah beta?”

Zakiyah dan Hamzah terdiam. Gelisah rasa hati, gundah rasa di jiwa, bagaimana hendak menenangkan hati sang puteri, mereka berdua tidak tahu!

“Bagaimanakah pertemuan tuan Puteri tadi dengan Putera dari Merak Kayangan itu?” Tanya Zakiyah. Sengaja dia mahu melarikan topik tentang Ikhwan, si musafir bermuka hitam, berkaki dan bertangan putih, bersuara lunak merdu yang menambat hati sang puteri.

“Hati rasa bergetar, setiap senyumannya membuahkan rasa bahagia, apa yang diucapkan bagaikan sutera menyelimuti badan, apabila tiba masa untuk berpisah, terasa sebak betul di dada, apakah maknanya itu wahai dayangku, Zakiyah?”

Zakiyah memandang Hamzah. ‘Ini berat!’

“Kalau tak silap patik, ini cinta namanya!” ujar Hamzah. Zakiyah seraya memukul lengan Hamzah. ‘Hai.. Hamzah! Kenapalah kamu ni lurus bendul sangat! Nanti susah puteri hendak memilih!’

“Cinta? Betulkah cinta rasanya seperti ini Hamzah?”

Hamzah mengangguk-angguk. Dia mengusap-usap lengan yang dipukulnya Zakiyah, sakit.

“Kalau begitu, beta hendak membatalkan pertandingan itu! Beta hendak khabarkan kepada ayahanda.” Puteri Ayra Nur bingkas bangun tetapi di tahan Zakiyah.

“Tuan Puteri, kasihan rakyat yang datang dari jauh mendaftar untuk pertandingan ini. Sesetengahnya yang datang dari ceruk rantau! Masakah tuan Puteri Ayra Nur tidak kasihan. Hamba ada satu cadangan, kalau tidak keberatan?”

Puteri Ayra Nur terhenti. ‘Betul juga kata-kata Zakiyah!’ “Beta sedia mendengarnya wahai Zakiyah!”

“Apa kata sewaktu pertandingan di langsungkan, tuan puteri tutup mata. Sekiranya betul tuan puteri mencintai Putera Shahrul Ikram, pasti tuan puteri akan memilihnya. Kalau sudah lekat di hati, tiada terlerai kerbau berlaga dengan janjang!”

“Hamba rasa ada benarnya kata-kata Zakiyah itu, tuan Puteri. Kalau sudah cinta, kasih dan sayang tidak boleh dipisahkan. Kalau hati sudah tahu, bau kentut pun kita kenal!”

Kata-kata Hamzah buatkan Puteri Ayra Nur ketawa.

“Ampun kurnia tuan puteri, hamba terlebih kata!”

“Tidak mengapalah Hamzah, beta hendak berjumpa dengan ayahanda. Beta hendak khabarkan hal ibu tua yang tinggal di kampung Shah Suria itu. Beta mahu ayahanda titahkan, kepada ibu tunggal yang tiada pekerjaan, diberikan kerja dan kemudahan yang percuma sehinggalah dia bisa hidup seperti biasa menampung keluarganya.”

Zakiyah dan Hamzah mengangguk-angguk tanda setuju.