BAB 11

Hari pertandingan!

Ramailah rakyat yang datang bertanding termasuklah seorang putera raja dari Merak Kayangan. Istana Permata Intan dihiasi dengan gilang gemilang, perasmian acara di buat besar-besaran, kalah acara Piala Dunia di Afrika, kalah acara Olimpik di China, kiranya julung-julung di adakan di Shah Inderapuri. Walaupun negerinya kecil, acaranya melebihi sedunia!

Raja Izwan Shah dan Permaisuri Ashida Nur masuk beriringan ke dalam dewan, di iringi oleh anakanda yang dikasihi, Puteri Ayra Nur. Semua orang terpegun dengan kecantikan sang puteri sampai ada yang sanggup mencium bajunya yang panjang meleret! Sambil berjalan ke takhta, satu-satu peserta dilihat sang puteri. Puteri melemparkan senyuman kepada Putera Shahrul Ikram sebaik sahaja tiba di depannya, di sebelahnya Ikhwan. Puteri senyum juga. Puteri Ayra Nur merenung mata Ikhwan… ‘kenapa matanya lain?’ detik hatinya.

Puteri Ayra Nur duduk di atas singgahsana bersebelahan dengan ayahandanya. Matanya di tutup Zakiyah. Raja Izwan Shah pelik. Dia berbisik kepada Hamzah, bertanyakan mengapa puterinya begitu.

“Puteri mahu menghayati bacaan.”

“Bagus.” ujar Raja Izwan Shah.

Sebelum dimulakan upacaranya, pengerusi majlis memberitahu syarat-syarat pertandingan, cuma hadiah utama pertandingan sahaja tidak diberitahu, masih menjadi rahsia. Masing-masing mengambil nombor giliran dan peserta diletakkan di belakang pentas. Setiap seorang tidak boleh melihat dan mendengar peserta lain bertanding. Setiap peserta tidak dibenarkan menyebut nama dan asal, hanya boleh menyebut nombor giliran sahaja. Kira-kira adalah 53 orang peserta dari ceruk negeri, dari serata dunia. Pertandingan itu berlangsung selama 2 hari sebelum puasa sehinggalah berhenti pada hari Nuzul Al-Quran.

Puteri Ayra Nur tekun mendengar bacaan-bacaan Al-Quran dari peserta-peserta. Setiap hari sehingga ke penghujung hari, Puteri Ayra Nur begitu tekun. Sehinggalah balik ke kamar, diulang-ulang bacaan yang direkodkan. Dia mahu betul-betul memilih. Walaupun dia berpuasa, letih dan penat, puteri gagahkan juga. Akhirnya, tinggal lah dua peserta yang nyatanya sama tandingan! Setelah bacaan terakhir dari peserta yang akhir itu habis, Puteri Ayra Nur diberikan masa selama satu jam untuk membuat keputusan.

Di kamarnya, Puteri Ayra Nur binggung!

“Zakiyah, cuba dayang dengarkan rekod sebelum ini, peserta nombor ke 23, suaranya lebih kurang sama dengan peserta nombor ke 50! Tetapi hari ini, mengapa peserta nombor ke 50 itu suaranya lain? Berbeza dengan sebelumnya!”

Zakiyah mengulang-ulang rekod pita suara di tangannya. Zakiyah mengangguk-angguk.

“Barangkali dia sakit tekak!”

“Siapakah gerangan peserta nombor 23 dan 50 itu dayang?” Puteri Ayra Nur mengetap bibir.

“Hamba pun kurang tahu puteri. Mata hamba juga ditutup! Bukankah kita sudah berjanji, keputusannya biar adil dan sama rata.”

“Kalau seperti yang dikata, biar pecah mulut, bumi merekah! Keputusan beta sudah bulat, diasak layu, dicabut mati!”

“Yakinkah tuan puteri?”

“Beta yakin dengan pilihan hati beta. Cak royak makan sirih, sirih ada dalam padi, rupa elok tak payah pilih, ikut suka dalam hati!” ujar Puteri Ayra Nur tegas.

Zakiyah tersenyum. “Ayuh, kita khabarkan keputusannya.”