BAB 10

Gempar satu istana, orang yang bermuka hitam, berkaki dan bertangan putih itu mendaftar untuk pertandingan tilawah itu. Puteri Ayra Nur berlari-lari melihat orang yang dimaksudkan, yang dikatakan menjadi jodohnya kelak.

“Mana hijab dan niqab beta Zakiyah?” tanya Puteri Ayra Nur tergesa-gesa.

Zakiyah memberikan hijab dan niqab kepadanya, dia langsung memakainya dan bergegas ke meja pendaftaran. Sengaja puteri mahu melihat orang itu dengan lebih dekat. Zakiyah setia mengikutnya, turut memakai hijab dan niqab. Tiada seorang pun yang perasan akan kehadiran Puteri Ayra Nur kerana dia telah menutup kesemuanya kecuali matanya yang bercelak.

Puteri Ayra Nur memberikan kertas pendaftaran kepada Ikhwan dan Ikhwan mengucapkan terima kasih. Lama dia memegang kertas itu dan merenung mata wanita yang berniqab itu di depannya. ‘Mata itu!’ detik hatinya, dia seperti kenal. ‘Cantik seperti bulan empat belas!’

Seperti terasa di renung, Puteri Ayra Nur melarikan matanya dan berlalu dari situ. ‘Mata itu!’ detik Puteri Ayra Nur.

“Dayang, mata itu seperti beta pernah nampak, tetapi di mana ya?”

“Mungkin pelanduk dua serupa agaknya!”

“Ya, mungkin… Merdu sungguh suaranya, dayang apabila dia mengucapkan terima kasih. Terasa seperti dia pernah bercakap dengan beta sebelum ini!”

“Mungkin angan sahaja, usah di ambil kisahlah!”

“Ya! Buat penat berfikir. Lebih baik redhakan sahaja.”

Puteri Ayra Nur kembali ke kamar peraduannya. Mulut sahaja bercakap jangan berfikir, tetapi otaknya masih ligat memikir. Kemudian dia teringatkan sang putera dari Negeri Merak Kayangan! Di dalam telur lagi ku nanti, inikan pula sudah menetas… Cepatlah pertandingan itu bermula! Seksa batin, menunggu!

“Begitu perit perasaan cinta ya? Mengapalah saat ini baru muncul putera dari Merak Kayangan? Kalau sebelum pertandingan itu kan lebih mudah!”

Zakiyah mengelengkan kepalanya. ‘Ingatkan tidak fikir, rupanya memikir lagi! Puteri… puteri!” Dia mengambil sisir dan menyisir rambut panjang mengurai sang puteri. Panjang mengurai rambut sang puteri, di sisir rapi di ikat tepi, cantiknya rambut tidak terperi, sesiapa yang melihat tertawan di hati!

“Puteri yang cantik berseri, janganlah rasa susah di hati, esok upacara rasmi, siapa jodohnya pilihan sendiri!”

Puteri Ayra Nur tersenyum. Pantun dari Zakiyah itu mencuit hati! ‘InsyaAllah, kalau itu yang terbaik buat aku, aku redha Ya Allah!’