BAB 1

Tersebutlah kisah dulu kala, Negeri Shah Inderapuri, sebuah negeri yang cantik berseri, gunung-ganang berbaris rapi, membelah pulau dan lautan yang bergelombang. Satwa dan hutan terpelihara, bak kata orang, Shah Inderapuri, syurga dunia yang belum pernah diusik malah dijajah. Rakyatnya ramah, senyum berganti senyum, tiada kesusahan atau penderitaan. Negeri ini terletak jauh di sudut dunia, walaupun jauh, negeri ini mempunyai segala kemudahan yang rapi dan lengkap dari segi perkhidmatan sosial, perhubungan dan pengangkutan untuk kegunaan rakyatnya.

Raja Izwan Shah gering hulu. Gering hulu memikirkan anakandanya yang seorang itu. Tunjuk yang ini, tidak mahu, tunjuk yang itu, satu pun tidak berkenan di hati. Apa lagi yang puterinya itu mahu, baginda tidak tahu.

“Dinda khabarkan pada puteri kita, jikalau pacal didik adinda itu tidak mahu berkahwin hujung tahun ini, beta akan murka. Jika kita mempunyai putera, perkara ini tidaklah menjadi hal. Tetapi ini puteri, adinda. Mengikut peraturan negeri, sekiranya tiada waris putera, puteri perlu dikahwinkan sebelum beta menjangkau usia 50 tahun! Hujung tahun ini, beta sudah mahu mencapai usia 50 tahun, calon suaminya tiada lagi.” bentak Raja Izwan Shah.

“Ampun kurnia tuanku, siapa kata lada tak kering, lama-lama kering juga, siapa kata puteri tak kahwin, lama-lama kahwin juga.” ujar Permaisuri Ashida Nur.

“Ini bukannya masa untuk kita berpantun, adinda.”

Permaisuri Ashida Nur tersenyum. “Hujung tahun ini, masih tinggal 5 purnama lagi, kanda. Sabarlah. Mungkin kita perlu beri masa pada puteri kita, inikan mencari calon pasangan hidupnya. Mestilah puteri mahu yang terbaik buat dirinya.” Permaisuri Ashida Nur tahu apa yang bersarang di dalam minda suaminya, tetapi anaknya perlu perhatian juga.

“Beta sudah buat keputusan, panggil memanda menteri.” titah Raja Izwan Shah kepada hulubalangnya. Permaisuri Ashida Nur mengelengkan kepalanya. ‘Kalau hitam katanya, hitam jugalah keputusannya! Kalau dah namanya raja…’ bisik hati permaisuri geram.