BAB 2

Puteri Ayra Nur sedang berehat di peraduan. Keadaan Shah Inderapuri waktu ini agak mendung, dia malas mahu bercemar duli ke taman istana. Lebih baik duduk beristirehat bermain facebook. Bukan sewenang-wenangnya untuk bermain facebook, banyak syarat perlu dipenuhi. Antaranya tidak boleh menyiarkan dirinya yang sebenar, akibatnya ayahanda akan murka. Kemurkaan ayahanda memang menjadi ketakutannya, walaupun dia merupakan anak tunggal pasti menjadi kesayangan, tetapi tidak Puteri Ayra Nur. Dia dilayan sama seperti anak kebiasaan yang lain, cuma dia adalah puteri negeri ini sahaja.

Perwatakannya lembut, kulitnya gebu dan kemerahan, matanya bulat, mata hitamnya berwarna cokelat jernih, bibirnya merah bak delima, hidungnya mancung bak seludang, begitu terserlah kecantikan Puteri Ayra Nur. Satu negeri Shah Inderapuri tahu Raja Izwan Shah mempunyai puteri yang sangat cantik malah santun budi pekertinya.

Satu kegemaran puteri yang rakyat tiada maklum adalah menyamar. Puteri Ayra Nur suka menyamar menjadi siapa-siapa sahaja untuk melihat dan mendekati rakyat-rakyatnya. Penyamaran itu tidak diketahui siapa-siapa termasuk ayahanda dan bondanya. Hanyalah seorang dayang kesayangannya, Zakiyah dan seorang pengawalnya merangkap penasihatnya iaitu Hamzah.

Pintu kamarnya diketuk. Puteri Ayra Nur tersentak. ‘Siapa?’

“Dayang, buka pintunya.” titah Puteri Ayra Nur. Cepat-cepat Zakiyah membuka pintunya.

“Menjunjung titah, tuan puteri. Patik membawa titah dari paduka raja kepada tuan puteri.”

“Semoga panjang umur ayahanda, silakan baca titahnya wahai memanda menteri.”

“Di hujung purnama ini, istana akan mengadakan satu tilawah al-quran di mana semua rakyat jelata di jemput untuk menyertai tilawah ini. Kesemua putera raja juga dijemput ke Inderapuri Shah bagi mencemar duli dan menyertai pertandingan ini. Syarat pertandingan ini ialah pertandingan ini hanya terbuka untuk lelaki bujang sahaja. Keputusan pertandingan kelak akan di adili oleh tuan puteri sendiri.” Memanda menteri Sayid Muzaffar menutup kertas pengumuman itu.

“Itu sahaja kah?”

“Iya, tuan puteri.”

“Terima kasih atas pengumuman itu wahai memanda menteri. Khabarkan kepada ayahanda, beta tiada halangan. Lagipula sudah mahu masuk bulan Ramadhan, cadangan ayahanda memang bagus sekali.” ujar Puteri Ayra Nur.

Usai sudah pengumuman itu dikhabarkan, memanda menteri dan hulubalang lainnya pun beredar. Puteri Ayra Nur termenung di tempat peraduannya.

“Apa yang dimenungkan Puteri?”

“Selalunya ayahanda akan menghantar wakil kita ke Malaysia untuk pertandingan tilawah al-quran, tetapi kali ini ayahanda sendiri mengadakan pertandingan itu. Hemm… dayangku Zakiyah, beta rasa ada ayahanda ada muslihat disebalik pertandingan ini! Masakan beta jadi pengadilnya? Dan kenapa syarat pertandingan adalah hanya untuk lelaki bujang sahaja, dayang?”

Zakiyah hanya diam. Dia tidak mahu masuk campur dalam hal itu, kelak dikatakan dia menokok tambah pula. Tetapi dia turut merasakan ada sesuatu muslihat. Mungkin mencari calon suami barangkali?

“Beta mahu siasat. Panggilkan Hamzah, beta mahu dia menjadi telinga dan mata beta! Beta dapat rasakan sesuatu yang ayahanda cuba sembunyikan.”

Zakiyah mengangguk-angguk lantas keluar memanggil Hamzah.