1

[Zee]

Pssstt.. cuba dengar tu. Dengar!

“... maka penjajahan di atas dunia harus dihapuskan kerana tidak sesuai dengan perikemanusiaan dan keadilan sejagat.”

Suara nyaring itu datang dari koridor sekolah, semakin lama semakin jelas menghampiri kelasku. Nah, kerana dia juga tetamu yang datang ke kelas kami berhenti bercakap. Aku tahu siapa dia. Semua orang pasti tahu siapa dia tanpa perlu melihat wajahnya terlebih dahulu.

Orang yang berbuat bising itu berhenti mendadak di depan pintu kelas yang terbuka.

“Eeeeit! Dah sampai!” ujarnya sambil tersengih.

Sam datang!

Dia melangkah masuk ke dalam kelas dengan selamba. Tidak peduli pada tetamu yang datang berkunjung. Padahal ada pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sedang berdiri di hadapan. Sam tidak peduli dengan renungan geram dari guru kelas dan guru kaunseling kami yang kebetulan turut ada bersama ketika itu.

“Dua ringgit,” ujar Sam sambil mengeluarkan dua keping wang dari saku bajunya dan meletakkannya di atas meja. “Cikguku sayang, budak hensem ni terlambat lagi. Nah dendanya. Jangan lupa tanda kehadiran Sam Alqori ya?”

Tanpa riak bersalah, dia kembali melangkah ke jajaran meja dan kerusi yang tersusun rapi. Dia duduk di meja di tengah-tengah, tepat di sebelahku. Selepas meletakkan begnya di atas meja, dia bersandar pada kerusi, kakinya disilangkan. Tangan kanannya ditopangkan pada penyandar kerusiku. Matanya kemudian menatap ke depan.

“JKM.” Sam membaca sepanduk yang dipasang oleh tetamu kami di depan lima belas minit yang lalu. “Jangan Kentut Merata-rata” Semua pelajar di dalam kelas tertawa.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat lah!” tingkah Vini, pelajar paling pandai dalam kelas yang duduk di depan sekali. “Bodoh tu simpan sikit woi!”

Sam cuma membalas dengan tertawa.

“Sudah. Sudah ya murid-murid,” ujar Cikgu Imari, guru kelas kami. “Teruskan encik,” ujarnya pada tetamu kami. “Maafkan sikap anak murid kami yang seorang itu. Dia tu memang nakal sikit.”

Lelaki bermisai yang tadinya berhenti bercakap kerana kekecohan yang ditimbulkan Sam mengangguk. Dia menyambung bicaranya. “Jadi murid-murid semua, kalau kamu dipukul atau diperlakukan secara kasar oleh ibu bapa kamu, jangan ragu-ragu untuk melaporkannya pada kami. Pada sepanduk ini ada tertulis nombor telefon atau alamat e-mel yang mana kamu boleh buat laporan.”

Aku membuka buku notaku dan mengambil pen. Kemudian mencatat.

03-8888 9999 info@jkm.gov.my aduan@jkm.gov.my

Selesai!

Tiba-tiba Sam menjenguk ke arah buku notaku, keningnya berkerut sedikit. “Zee, kenapa perlu disalin? Nanti keluar exam ke?” soalnya dengan wajah ingin tahu.

Aku cuma mampu menggeleng sambil menahan senyum.

“Tak keluarlah.”

“Wah, orang pandai memang menakutkan,” balas Sam sebelum kembali menumpukan perhatiannya ke depan, pada pegawaipegawai JKM yang masih bercakap.

“Ada yang di sini yang selalu dipukul ibu atau bapa kamu?” soal lelaki bermisai tadi.

Aku menahan nafas. Peluh dingin mula terbit di dahiku.

“Itu..si Sam!” ujar Diga. Dia satu geng dengan Sam. Suka saling mengejek dan mengusik. Mungkin sebab itu mereka berkawan baik. “Dia selalu dirotan emaknya, di punggung,” sambung Diga lagi.

Seisi kelas tertawa lagi. Maksudku pelajar-pelajar lelaki. Dengan tenang Sam menjawab.

“Oh.. nak report pasal mak aku ke? Cuba la report. Esok lepas main bola, takde chance la kau nak makan mee free lagi. Kedai tutup sebab tukang masak kena tangkap polis.”

Diga ketawa sambil mengangkat kedua tangannya separas telinga. “Tak jadilah Sam,” ujarnya. “Nanti rezeki hilang pulak. Dahlah sekarang susah nak dapat yang free. Lambat datang sekolah pun kena bayar.”

Pelajar-pelajar lelaki serentak tertawa lagi.

“Betul kamu selalu kena pukul, Sam?” soal seorang perempuan muda berbaju batik yang berdiri di sebelah lelaki bermisai tadi. Serentak kelas menjadi hening. “Kalau alasannya tak masuk akal, tak boleh,” lanjutnya.

“Puan jangan percaya sangat dengan si bodoh ni,” sahutnya selamba. “Saya ini budak baik. Suka menolong emak jual mee ayam di gerai. Saya juga murid yang baik. Setiap hari saya derma dua ringgit dengan sekolah. Tak cukup baik ke tu?” ujarnya dengan nada mengejek. “Kadang-kadang je la, pergi main bola sampai lambat balik. Lupa tolong mak cuci pinggan kat kedai. Suka bangun lambat dan tinggalkan kasut depan pintu bilik kakak. Jadi mak marahlah.”

“Amboi… meluahkan perasaan nampak,” usik beberapa orang pelajar perempuan sambil ketawa.

Sam yang sedar dirinya diejek tetap mempamer sengihan lebar. Para tetamu yang mendengar penjelasan panjang lebarnya hanya mengangguk. Kemudian mereka saling berbisik-bisik dengan guru kelas kami. Mungkin cikgu sedang kata “Jangan pedulikan Sam. Dia itu kurang waras. Abaikan saja.”

Kemudian para tetamu itu memandang ke arah pelajar-pelajar yang lain. Itu membuatku takut. Jangan aku. Tolonglah bukan aku!

Aku menundukkan wajahku. Takut kalau mereka tiba-tiba bertanya padaku.

“Zee…” panggil Sam perlahan, hampir berbisik. “Kau jatuh kat bilik mandi lagi ke? Kenapa leher kau lebam?” ujarnya sambil menuding ke kolar bajuku. “Macam mana kau mandi sampai boleh lebam-lebam macam tu?”

“Tak.. eh.. Maksud aku...haah. Aku jatuh lagi.” Kolar bajuku ku tarik lebih tinggi, mahu menutup lebam itu. “Aku tak hati-hati jadi terjatuh. Dahlah! Pandang depan, jangan pandang aku. Nanti Cikgu Imari marah.”

“OK.” Sam kembali memandang ke depan. Tuhan terima kasih. Aku takut Sam bertanya lagi.

jjjjj

[Sam]

Aku terlambat seperti biasa. Koridor sekolah yang sunyi membuat aku merasa cemas padahal hari masih pagi. Itu pun kalau jam sepuluh masih boleh disebut pagi. Jadi aku menjerit-jerit melaungkan entah apa yang aku ingat. Dan setibanya di kelas, ternyata ada tetamu dari JKM.

Kemudian aku membuat kecoh di dalam kelas. Muka mereka semuanya nampak stress terlebih, lagi-lagi orang yang duduk di sebelahku. Namanya Zee Rasyid. Kepalanya tertunduk-tunduk ketika pegawai-pegawai JKM itu memandang kami seperti sedang mencari mangsa. Dia nampaknya ketakutan.

Aku ini memang bodoh kalau bab belajar. Dapat lulus cukup makan masa ujian pun dah syukur. Tapi aku tidaklah terlalu bodoh sampai tak boleh mentafsir lebam-lebam yang ada di badan Zee. Mana ada orang mandi, walaupun sedang dalam keadaan mengantuk, boleh jatuh dan menyebabkan lebam di tempattempat yang tidak sepatutnya. Hampir setiap minggu! Beberapa hari lepas aku lihat ada lebam di pahanya, sampai dia kerap kali menarik-narik skirtnya ke bawah. Lebam itu pun belum hilang, sekarang sudah muncul lebam di bahagian yang lain. Lama-lama mungkin dia akan bertukar jadi sewarna dengan Baygon.

Tapi masuk campur urusan orang itu bukan sifatku.

Aku malas bertanya lagi. Dia pun tidak mahu jujur padaku. Jadi aku kembali memandang ke depan. Tetamu-tetamu itu pun tidak berlama-lama di kelas kami. Selepas beberapa minit, mereka beredar ke kelas lain. Selepas mereka beredar, pembelajaran diteruskan seperti biasa. Dan masa belajar kuhabiskan dengan tidur di mejaku. Guru-guru juga sudah bosan marah dan menasihatiku, jadi mereka biarkan saja aku tidur dengan nyenyak sampailah loceng terakhir berbunyi. Saat terjaga, aku disambut wajah Vini. Kelas sudah kosong.

“Akhirnya kau bangun jugak.” ujar Vini.

Aku menguap sambil menggeliat. Setelah sepenuhnya sedar dari alam mimpi, aku mengerutkan kening.

“Kau nak apa? Belum balik?” soalku pada Vini.

“Aku tumpang kau balik ya?” katanya. “Pagi tadi aku tak dapat duit belanja.”

Aku mengangguk. Kemudian aku teringat sesuatu. “Jadi waktu rehat tadi kau tak makan? Ada bawak bekal?”

“Ada, aku bawak nasi dari rumah. Cuma nasi. Nasib baik Zee ada bagi telur dengan tauhu goreng. Kalau kau kira kenyang dalam mimpi lah kan?”

Ketawaku meledak. “Sudahlah mintak tolong orang, menyakitkan hati pula,” ujarku sambil mencapai begku di atas meja. “Jom.”

Aku jalan terlebih dahulu menyusuri koridor kelas. Beberapa saat kemudian Vini berjaya menyaingi langkahku.

Saat mula-mula masuk sekolah ini, orang menyangka kami pasangan kekasih. Tapi selepas mengetahui kami jiran sejak kecil dan sudah seperti adik beradik dan sama malang juga hidupnya, gosip itu hilang. Bahkan kalau ada apa-apa terjadi pada Vini, pasti orang akan memberitahuku, begitu juga sebaliknya. Kalau aku dimarah cikgu, Vini yang akan membelaku walaupun aku yang salah.

Kemudian aku bertanyakan soalan yang sudah lama bersarang di benakku. “Vin, kalau nak buat laporan pasal penderaan, nak lapor dengan siapa? Boleh lapor dengan orang tadi tak?”

“Untuk kes kau, sebaiknya ke Unit Perlindungan Wanita. Kau nak report pasal ayah kau? Tak marah ke mak kau nanti?” sahut Vini. “Tapi sebenarnya lebih baik kau report.”

“Tanya je. Mana tau satu hari nanti aku rasa nak buat laporan, so taklah aku pergi tempat yang salah.”

Vini ketawa. “Ha, betullah. Tak payah berlagak hero. Konon nak buat report, sekali kau pegi balai bomba pulak.” Giliran aku pula ketawa besar.

Setibanya di tempat letak motosikal, aku menyerahkan sebuah topi keledar pada Vini.

Aku memang selalu membawa dua topi keledar. Jadi kalau Vini atau siapa-siapa pun yang mahu menumpangku, aku tidak perlu melanggar undang-undang lalu lintas. Aku juga sudah ada lesen memandu yang sah. Umurku sudah tujuh belas tahun.

“Eh, Sam. Itu Jo. Jonathan!” Vini melirik ke arah gelanggang bola keranjang dengan wajah berseri-seri. Senyuman malu-malu terbit di wajahnya. “Handsome kan dia?”

Spontan aku menahan seorang pelajar yang memakai uniform pasukan bola keranjang yang kebetulan melintas di hadapan kami. “Bro! Kirim salam pada Jo, dari Vini ya? Budak paling gedik dalam kelas 5 Sains 5”

Pap! Belakangku dipukul keras oleh Vini. “Kau dah kenapa?” ujarnya dengan wajah merah padam dan mata yang dibesarkan.

“OK Bro. Nanti aku sampaikan,” ujar pelajar yang kutahan tadi sebelum berlalu.

Aku tersengih pada Vini. “Kan aku dah tolong kau. Patutnya kau kata terima kasih.”

Vini menarik muka masam. “Tengok tu! Dia buat betul-betul lah! Aduuuh… maluuuu…” ujarnya sambil mengisyaratkan agar aku menoleh ke padang bola keranjang. Di sana, Jo dan budak yang kutahan tadi sedang bercakap-cakap sebelum mereka serentak memandang ke arah Vini.

Saat itulah pandanganku beranjak ke tepi padang, di depan tempat perhimpunan. Di situ Zee sedang berjalan seperti sedang mencari-cari sesuatu.

“Vin, itu Zee kan? Kenapa dengan dia?” soalku.

Vini memandang ke arah yang aku tunjukkan. “Ah, bukan urusan kau. Jom balik.”

Vini menyarung topi keledar yang dipegangnya sejak tadi tanpa menoleh lagi ke arah Jo yang sedang sibuk di gelanggang bola keranjang mahupun Zee.

“Tunggu sekejap ya?” Aku bergegas meninggalkan Vini dan menghampiri Zee. Aku menyapanya santai. “Cari apa, Zee?”

Tanpa ku sangka, dia melonjak kaget. “Astaga, Sam. Terkejut aku!”

Dia memegang dadanya, wajahnya pucat. Sepertinya baru lepas melihat hantu. Menakutkan sangat ke muka aku ni?

“Cari apa? Ada barang hilang?”

Zee mengangguk. “Gelang. Gelang aku hilang. Macam mana ni?” Wajahnya kelihatan panik. Matanya kembali menatap rumputrumput di tanah. “Mana gelang tu?” “Macam mana rupanya?” soalku.

Zee mendongak merenungku. “Hmm.. gelang besi putih dua lingkaran. Di tengah-tengah gelang itu ada ukiran nama aku, selebihnya ukiran bunga melati.” “Oh itu. Yang kau selalu pakai itu kan?” Zee mengangguk.

Vini datang menghampiri kami dan berdiri di sebelahku. Dia bertanya dan Zee menjelaskan kembali. Kemudian Vini cuma mengatakan “Oooh…” Tak berperasaan!

“Sam, jom balik. Aku nak tolong emak. Kau pun, kan?” ajak Vini.

Aku baru teringat. Dan memang kami harus pulang. Aku berpamitan dengan Zee yang hanya dibalas dengan anggukan singkat tanpa menoleh ke arahku. Aku dan Vini kembali berjalan ke tempat letak motosikal.

Saat aku menunggang motosikal melintasi tempat Zee berdiri, pandangan mataku masih tertancap padanya sehingga Vini memukul bahuku dengan kasar. “Tengok jalan! Kau nak bawak aku masuk kubur sama-sama ke?” “Huish! Mulut lancang!” balasku.

jjjjj

[Zee]

Meskipun sudah tiga tahun di sini, kerusi di sebelahku selalu kosong. Selain Sam, tidak ada orang yang mahu duduk bersamaku kerana sifatku yang pendiam dan sukar diajak bergurau. Aku selalu memilih untuk menyendiri kerana bagiku persahabatan hanya akan mengundang minat pada lebam-lebam di tubuhku. Sam pula memilih duduk di sebelahku kerana dia mahu menyalin jawapanku, dan kemudian tidur dengan tenang.

Di hadapan, guru sedang mengajar Bahasa Inggeris. Aku mendengar tetapi tidak fokus. Sudah jam sembilan setengah tetapi Sam masih belum datang. Adakah dia sudah tidak perlu meniru jawapan kerja rumah dariku lagi?

Aku masuk ke kelas ini pada pertengahan semester satu. Aku dipindahkan oleh guru kaunseling agar aku boleh bersosial dengan pelajar-pelajar yang lain. Ini kelas terakhir dalam aliran sains, boleh dikatakan kelas paling bising dan nakal sekali pelajarnya. Guru yang mengajar di kelas ini selalu datang dan pergi dengan helaan nafas panjang.

“Selamat pagi cikguku sayang!” Nah, itu dia.

“Sam Alqori terlambat lagi,” ujarnya. Dia berdiri di sebelah meja guru. Tangannya menyeluk saku uniformnya dan mengeluarkan dua lembar duit seringgit. “Bayar denda.”

“Kenapa tak cuti terus?” sindir cikgu Bahasa Inggeris kami selepas melirik jam tangannya.

“Sam Alqori masih ingin tamat sekolah, jadi mesti datang walaupun terlambat,” jawabnya enteng. Kemudian dia terus berjalan ke barisan meja tanpa mempedulikan renungan marah guru itu. Dia kemudian berhenti berjalan dan melirik ke dua arah. Ada dua kerusi kosong. Satu di sebelahku, satu lagi di belakang.

“Sam! Keluar!” jerit guru kami sambil menuding jari ke arah pintu.

Sam tidak mempedulikannya. Dia kemudian memilih duduk di sebelahku,

“Zee.. pinjam kerja rumah,” katanya.

“Sam! Kamu dengar atau tidak? Saya suruh kamu keluar! Tak perlu masuk kelas saya!” perintah guru kami dengan suara lantang. Raut wajahnya menggambarkan kemarahannya.

Aku yang sedang mengambil buku dari laci meja berhenti bergerak. Meja kami kini menjadi pusat perhatian seluruh kelas.

Aku menelan air liur.

“Zee.. pinjam ya?” Sam merampas buku yang ada di tangannya.

“SAM!”

Sebatang pen penanda melayang ke meja kami. Aku terlonjak. Sam berhenti bergerak.

Kemudian renungan Sam perlahan-lahan naik menatap wajah guru Bahasa Inggeris yang sudah merah padam itu. “Duduk dulu boleh tak?” soalnya. “Lepas salin jawapan ni saya tidurlah. Saya pun tak minat belajar English. Buang masa je.” “Kamu nak jadi apa kalau perangai terus macam ni?” “Jadi polis. Kenapa? Tak boleh?” soalnya kembali.

“Oh, begini ya cara belajar orang yang ada cita-cita?” ujar guru itu sinis sambil menggeleng. “Paling hebat pun nanti kamu jadi tukang sapu. Atau buruh binaan.”

Tanpa disangka, sebelum sempat Sam membalas, Vini terlebih dulu bersuara.

“Kenapa cikgu cakap macam tu?” soalnya dengan suara yang sama lantangnya. “Semua orang kan berhak ada cita-cita. Setiap orang ada cara sendiri untuk mencapai cita-cita mereka. Jangan sebab Sam tu pemalas, cikgu---”

“Kenapa kamu yang marah? Kamu girlfriend dia?” potong guru itu.

Memang tidak jarang aku melihat Vini berubah garang saat sedang marah. Apatah lagi kalau ia berkaitan dengan Sam. “Saya saudaranya!” ujar Vini sambil mengangkat bahu.

Sam menyikuku. “Kalau Vini mengamuk lagi, confirm kelas cancel lagi. Best kan?” ujarnya dengan suara rendah sambil menyungging senyum.

“Kenapa kau suka?” balasku setengah berbisik.

“Maaf…”

Cikgu Imari datang ke kelas dengan senyuman lebar dan kertas di tangan. Aku boleh merasakan yang seisi kelas yang tadinya menahan nafas serentak sudah menghembuskan nafas lega. Guru kelas sudah datang sebagai penyelamat.

Sebelum sempat seisi kelas bersuara, guru Bahasa Inggeris kami sudah mengadu perangai Sam dan Vini pada Cikgu Imari. Cikgu Imari cuma mengangguk-angguk lalu berkata “Nanti saya akan panggil kedua-duanya.”

Anehnya Cikgu Imari tidak pernah memarahi Vini dan Sam. Dia terus berdiri di hadapan kelas sambil bercakap. “Murid-murid. Saya ambil masa sebentar ya. Ini ada borang biasiswa untuk pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan. Yang berminat dan memenuhi syarat, sila ke depan untuk mengambilnya. Nanti baru pemilihan akan dibuat. OK?”

Beberapa orang bergerak ke hadapan menghampiri Cikgu Imari termasuk Vini. Sam cuma diam di tempatnya, kelihatannya dia tidak berminat. Dia tersentak saat Vini memanggilnya. “Woi, Sam! Kau tak nak borang ni?”

“Kau kan tahu, aku tak cukup syarat, Vin,” balas Sam santai.

“Syarat yang mana?” sahut Cikgu Imari.

Sam menyeringai. “Kurang miskin, cikgu.”

Cikgu Imari mengetap bibir, geram separuh marah. Dia datang ke meja kami lalu mencubit pinggang Sam. “Apa yang kurang miskin, ha? Perasan kaya!” katanya. Melihat wajah Sam yang sedang menahan sakit, beliau tertawa kecil sambil menggeleng perlahan. “Astaga kamu ini.. susah betul saya nak nasihatkan kamu. Sudah, ambil borang ni dulu.”

Sam tertawa. “Aduh, cikgu. Cuma cikgu dan Vini saja yang menyuruh saya sambung belajar. Sedangkan dekat sekolah pun saya hidup dengan meniru, apa lagi kalau dekat U nanti?”

Vini datang ke meja kami dan memberikan Sam satu borang itu. “Kau nak ambik ke tak?” ujarnya separuh menengking. “Atau aku sepak kau sampai pengsan!”

Sam ketawa terbahak-bahak. Tangannya dihulur, mengambil borang itu. “Okay, okay. Scary gila kalau kau tengah marah, Vin.”

Kemudian dia memberikan borang itu padaku. “Zee.. kau mesti nak sambung belajar kan? Nah, ambil.” “Aa…akuu… tak cukup syarat,” balasku.

“Huh?” Kening Sam terjongket.

“Uhm.. keluargaku.. kan..mampu..” Aku rasa tidak sedap hati pula menuturkan ayat begitu.

Sam mengangguk faham. “Betul jugak. Sorry, lupa.”

Dia kemudiannya melipat kertas itu menjadi dua sebelum mengipas-ngipaskannya ke leher.

“Zee…” panggil Cikgu Imari, membuatku kaget seketika. “Jumpa saya di bilik kaunseling nanti lepas habis kelas ya? Ada perkara yang perlu kita bincangkan.”

Aduh. Aku bukannya budak nakal.

Ya, Tuhan! Aku pasti dia mahu menyiasat tentang lebam-lebam di badanku ini. Semalam Mama tidak memukulku, syukurlah. Tapi kenapa ya, Cikgu Imari selalu mahu masuk campur dalam urusan hidupku?