BAB 14

MALAM yang nyaman ditemani hembusan sang angin, begitu nyaman sekali.
Berkuntum senyuman di bibir apabila matanya singgah pada sebentuk cincin
yang tersarung di jari manisnya Ya, Zafar dah lakukan apa yang patut
dibuat. Dan ia berlaku dengan restu mamanya setelah mereka duduk
berbincang dengan seriusnya.

Sempat juga Zafar kena marah dengan bakal mak mentua,
“Jangan duk buat main-main dengan anak mama lagi! Silap-silap, mama bagi
kahwin dengan orang lain…” ugutan itu hanya membangkitkan tawa di bibir
Zatilhusna. Mama memang sempoi.

Bunyi beep telefon bimbit makin melebarkan senyuman.
Tahulah dia, siapa pengirim mesej itu.

Thanks

“Sama-sama…” bibir Zatilhusna menuturkan kata seiring
dengan jemari yang membalas pesanan ringkas itu.

After our nikah, kena tolong Jes pulak. Saya sedih tengok
dia asyik menangis thinking about her fate. But, one good news, dia
dapat jumpa Jehan tadi, and he recognize Jes. He hugged her…

Zatilhusna tersenyum kecil. Dapat membayangkan wajah
Jeslina yang tersenyum ceria. Pasti bertambah seri di wajah itu kerana
dapat bertemu dengan Jehan. Putera sulung yang dilahirkan oleh wanita
itu. Benar, kini baru Zatilhusna perasan… Jehan mewarisi sepasang mata
seperti ibunya. Manakala Fasha lebih kepada iras Doktor Fathi.

Teringatkan perbualan antara dirinya dengan Jeslina,
Zatilhusna menjadi simpati. Tidak tahu hendak dikatakan apa, tetapi
hanya satu yang dia jelas. Jeslina tidak pernah mengharapkan adanya
perpisahan dengan Fathi. Apa yang terjadi, adalah satu percaturan yang
tidak dapat dielak. Jeslina terpaksa menurut kata…

“Apa yang I boleh buat Zatil? I diugut… nyawa Fathi jadi
taruhan. I tak boleh terus dengan dia…” Tangisan Jeslina menampar cuping
telinga. Perbualan yang masih segar dalam minda Zatilhusna.

“Siapa yang ugut awak?”

“My ex-boyfriend. Dia berdendam dengan I sejak I kahwin
dengan Fathi. Dan bila I datang Malaysia, I ingatkan dia dah takkan cari
I lagi. I silap… I silap buat penilaian. Lelaki tu bukan orang
sembarangan… dia terlalu berpengaruh sehingga dapat menghancurkan
kebahagiaan I. I lost my family, my love...”

Tidak mampu berkata apa-apa, Zatilhusna hanya dapat menjadi
pendengar kisah yang dituturkan oleh Jeslina. Hendak dikatakan sebagai
suatu kisah rekaan, mustahil. Ketelusan jelas tergambar di kaca mata
gadis berambut perang itu. Dan ada suatu rasa terdetik dalam sanubari
Zatilhusna.

“Mungkin… ini dugaan untuk awak.”

“Dugaan?”

“Dugaan kerana tidak mengutamakan agama.”

Wajah Jeslina terpana. Berubah merah ronanya. Tertunduk
seketika menghadap lantai. “I tahu, niat I salah. I masuk Islam… hanya
kerana inginkan Fathi. I belajar agama, sekadar ingin kagumkan dia.
Betul kata you, I tak mengutamakan agama… walaupun I dah dipilih untuk
mendalami agama yang suci ni… dan sekarang ni pun, I cuba belajar. Zafar
banyak tolong I. Dia lebih arif daripada I yang lebih awal mengucap
kalimah syahadah.”

“Kali ni, cuba lakukan perubahan hanya kerana Allah.
Insya-Allah, jangan risaukan tentang perkara lain.. Allah pasti akan
menolong hamba-Nya yang berusaha untuk agama-Nya.” Jemari Jeslina dipaut
erat.

“Awak dah ada dekat sini. Cerita dulu tu, tak usah diungkit
lagi… mulakan langkah baru dengan azam baru. Kuatkan keyakinan bahawa
Allah sentiasa bersama kita… dia akan permudahkan segala urusan. Awak
kena yakin…”

Mengenangkan ungkapan itu, Zatilhusna tersenyum. Hanya
bersandarkan keyakinan kepada Allah, perjalanan hidup ini akan lebih
mudah untuk ditempuh. Setiap apa yang telah berlaku, lihat dengan kaca
mata Islam. Mungkin dugaan itu untuk menjadikan kita lebih baik daripada
sebelumnya. Usah diraung dan diratapi kejadian kelmarin kerana tiada
gunanya juga andai kita masih tidak mampu mengenalpasti kelemahan dan
kekurangan dalam diri.

Serentak itu, kedengaran bunyi menandakan ada lagi mesej
yang masuk. Mata Zatilhusna jatuh ke skrin. Sekali lagi, senyumannya
terus meleret. Menemani tidur malam ini yang pasti bahagianya dengan
izin Allah.

Langkah ini moga dengan berkat-Nya. Perjalanan yang akan
dilalui, moga dimudahkan dengan izin-Nya. Cinta ini, moga hanya kerana
kasih kepada-Nya. Sama-sama kita kejar cinta Dia yang Maha Agung.
Insya-Allah :)