BAB 4

KOPI yang dipesan itu dikacau berkali-kali. Asap yang tadinya kelihatan
berkepul-kepul, sudah mulai surut. Namun sesisip pun masih belum
dihirup. Runsing sungguh kepala otaknya.

“Kenapa yang nampak serabai sangat ni?” teguran Faizah,
rakan setugas membuatkan Zatilhusna mengeluh seketika.

“Rasanya dua minggu lepas, kau happy macam menang sepuluh
bongkah emas. Ni kenapa aku tengok macam orang dah jatuh muflis?” soalan
Faizah membuatkan Zatilhusna mendongak.

“Kau pernah tengok orang jatuh muflis ke?”

Geleng.

“Habis tu?”

Sepi. Faizah tidak menjawab.

Zatilhusna mengeluh. “Tak tahulah Faizah… aku ni pening.”

“Kenapa? Cuba cerita, mana tahu aku boleh tolong…” Faizah
sudah menarik bangku di sebelah Zatilhusna. Cermin mata yang sudah
hampir kelabu itu ditarik dan dilap seketika. Sibuk bertugas, sampai
naik berpinar mata. Tapi itu tak bermakna, tak boleh nak bersosial
dengan rakan sekerja buat seketika.

“Aku nak kahwin.” Zatilhusna memberitahu, tanpa rasa.

“Alhamdulillah.”

“Tapi orang yang aku nak kahwin tu, dah kahwin sebenarnya.
Dia suruh aku tunggu dan dah dekat tiga tahun aku tunggu… tiba-tiba dia
muncul, nak kahwin dengan aku, tapi dalam masa yang sama, dia dah kahwin
dengan orang lain.”

“Rumit ni.” Faizah sudah menekan pelipisnya yang mulai
terasa pening. “Kau memang nak kahwin dengan dia?”

“Aku tak rasa aku akan kahwin dengan orang lain,” jawab
Zatilhusna. Pandangannya kosong. Tidak tahu apa yang dirasakan pada
ketika. Tiada cinta, mahupun benci. Jadi, apakah ini?

“Mama kau?”

“Mama pun dah pening sebab aku tetap nak kahwin dengan dia.”

“Payah ni Zatil. Kahwin dengan suami orang, hidup bermadu
bukan senang macam kita duk tengok dalam cerita madu tiga tu. Kalau tak
adil, jenuh nak kena berjawab dekat sana nanti.” Faizah sekadar memberi
pendapat. Lagipun atas sebab apa hendak mengamalkan poligami ini? Hukum
harus didahulukan kalau tidak seiring dengan sunnah yang diamalkan oleh
rasul kita.

“Aku tahu. Tapi…” Zatilhusna tidak punya jawapan.

Faizah menghulurkan senyuman nipis sambil meletakkan tangan
kanannya di atas jemari Zatilhusna. Zatilhusna tersenyum kelat. Tidak
berperasa dan berperisa. Kelatnya memanjang sahaja.

“Fikir masak-masak. Hal nikah kahwin ni, tak boleh buat
main. Jangan ikutkan sangat perasaan tu, sebab cinta manusia ni
kadang-kadang boleh melukakan banyak jiwa tanpa kita sedar…” tenang
sahaja Faizah memberi pandangan.

“Habis tu, aku nak buat apa ni?

“Kalau semata-mata kerana cinta, kau nak bermadu… aku
cadangkan, kau tolak aje.” Saran Faizah. “Tapi ini hanya pandangan aku,
sebaiknya kau fikir dulu sehabis boleh… doa dengan Allah, biar Dia
lapangkan dada kau untuk buat keputusan yang terbaik.”

“Kalau aku tetap nak kahwin dengan dia?” soal Zatilhusna lagi.

Dah Faizah hanya menggelengkan kepala. “Daripada kau kahwin
dan hidup bermadu, lebih baik kau terima Doktor Fathi. Suami pun dapat…
anak pun dapat. Lagi bagus daripada dapat madu.” Faizah terus ketawa
dengan kata-katanya. Ayat itu terkeluar secara spontan bila dia nampak
wajah Doktor Fathi yang baru sahaja melabuhkan punggung selang dua meja
daripada mereka.

“Mulut!!!” Zatilhusna sudah geram. “Aku cilikan nanti.”

“Eh… okey sangatlah tu. Buat apa nak susah-susah layan
kerenah madu yang belum tentu kau mampu. Baik kau layan budak, lagi
mudah. Lagipun, anak-anak Doktor Fathi tu… calon anak soleh dan solehah.
Mana nak dapat…” giat Faizah.

“Shut up you…” malas saja Zatilhusna membalas. Merajuk
dengan Faizahlah kalau macam ni!

Baru sahaja Zatilhusna hendak bangun beredar, tersentak
jiwanya. Senyuman Doktor Fathi sudah menghiasi ruang mata. Entah bila
pula dia itu duduk di belakangnya, langsung tidak sedar.

“Bolehlah tu…” sekali lagi suara Faizah tercetus dengan tawa
halus.

Zatilhusna hanya mampu menghadiahkan jelingan maut di saat itu.