BAB 8

“I TOLD you before… dia memang ada hati dengan kau.” Faizah
mengungkapkan kata dengan kening yang terangkat. Sengaja dibuat begitu
untuk mengucar-kacirkan perasaan Zatilhusna yang sedia berkecamuk. Lihat
pada raut wajah itu pun dia sudah tahu. Mood not in a stable condition.


Zatilhusna menjeling seketika pada Faizah sebelum kembali
menghadapkan muka ke luar tingkap di bangunan hospital ini. Terus
matanya tertancap pada kesibukan jalan raya yang dipenuhi oleh
kenderaan. Sesaknya keadaan itu seolah sama kesesakan di hatinya pada
ketika ini.

“Aku cadangkan…” baru sahaja Faizah hendak mengutarakan
cadangannya. Tetapi laju lagi dipintas oleh Zatilhusna.

“Tak payahlah nak brainwash aku suruh kahwin dengan Doktor
Fathi pulak.”

Faizah terpinga, “Aik, bila masa… aku cakap pun tak habis,
kau dah potong. Don’t jump into conclusion too early my dear… listen
first.”

Wajah Zatilhusna tidak menanti sesaat pun sebelum bertukar
menjadi merah. Aduh! Terlebih gopohlah pulak… seakan dirinya terlalu
memikirkan Fathi sebenarnya. Tapi, hakikatnya… tidak!!! Baik fikirkan
Zafar. Tapi, apa bezanya? Dua-dua pun sudah berkahwin juga…

“Cuba bincang dengan mama kau. Duduk sama-sama, fikir… aku
tahulah dalam hati kau ada nama siapa. Tapi kan, kadang-kadang benda
dalam hidup ni selalunya sesuatu yang kita tak sangka pun. Mungkin aje
jodoh kau bukan dengan Doktor Fathi mahupun Zafar… mungkin ada orang
lain pula.”

Bahu Zatilhusna diusap perlahan. Faizah mengukir senyuman
pembekal semangat untuk Zatilhusna. Biarlah hilang segala kecelaruan
dalam kepala gadis itu.

“Mungkin ada orang lain ke… mana pulak aku nak cari? Kenapa
lambat sangat dia nak muncul ni!” Zatilhusna tergelak kecil.
Dalam pada segala tengah berserabut dengan Zafar, dia masih dapat
fikirkan mungkin ada orang lain pula yang akan muncul dalam hidup dia.
Yang dapat tarik dia keluar daripada semua benda yang memeningkan kepala
ini. Kalau ada…

Faizah ikut tergelak. “Doalah… mana tau, tiba-tiba aje
muncul depan mata.”

Zatilhusna tersenyum nipis. Semuanya hanya sekadar
angan-angan minda.