BAB 12

KELAM-kabut jadinya langkah Zatilhusna gara-gara hendak mengejar
seseorang itu. Seorang yang telah mendapat tempat di hatinya sejak
bertahun lagi. Seorang yang telah setia menantinya selama ini. Seorang
yang sentiasa memahami dirinya walaupun dia hampir menolak kehadiran
lelaki itu di sisi.

Sungguh, dia tidak sanggup untuk melepaskan lelaki itu.
Biarlah siapa hendak kata apa pun. Biarlah jika mama hendak tampilkan
seribu lagi Azhar pun. Biarlah kalau Doktor Fathi hendak mengaku sukakan
dia pun. Yang dia tahu, hanya lelaki itu yang menghuni hati. Hanya dia
yang aku cinta… ucapan yang bergema di ruang hati Zatilhusna.

“Zafar!!!” jeritnya kuat.

Malas pula dia hendak berlari lagi. Sementelah matanya sudah
pun menangkap figura lelaki itu yang mula menarik bagasi. Ah, sungguhlah
drama!

“Zafar, baik awak datang sini kalau betul tak nak mati kena
gilis dengan tayar kapal terbang.” Sekali lagi kuat suara Zatilhusna
memenuhi ruang itu. Biarpun sudah ada mata-mata yang memandang dirinya
dengan aneh, tapi dia malas hendak ambil hairan dengan perkara itu. Apa
yang lebih penting sekarang ini adalah pandangan terkejut Zafar.
Lelaki itu kelihatan terpinga-pinga apabila seluruh pandangan Zatilhusna
menghala ke arahnya.
“Baik awak ikut saya balik, kalau tak nak menyesal!” Sekali lagi, hanya
ugutan yang meniti bibir gadis itu.
Perlahan-lahan kaki Zafar melangkah dan kiri berdirinya tegak di hadapan
Zatilhusna. Merah benar wajah gadis itu. Dan itu adalah tanda Zatilhusna
marah. Dan itu juga adalah persamaan mereka. Mengenangkan itu, bibir
Zafar tersenyum.
“Awak berani nak tinggalkan saya?” marah Zatilhusna.
“Saya rasa, saya tak silap dengar bila awak cakap, no!”
“Stupid guy!!!” gumam Zatilhusna perlahan. “Lain kali jangan main
letak telefon macam tu aje. Dan kalau bercerita tu, biar jujur dengan
saya. Pandai ya awak mereka cerita. Pandai sangatlah tu nak kenakan
saya? Dan awak berjaya kenakan saya sampai mama saya berusaha carikan
calon suami lain. Awak suka macam tu? Nasib saya tak setuju aje dengan
mama saya… memang itu agaknya impian awak!!!” Tidak mahu memberi
peluang, Zatilhusna menyerang Zafar bertubi-tubi.
“Awak jangan nak pandai-pandai balik sana selagi awak tak akad nikah
dengan saya!” sambung Zatilhusna lagi.
Zafar terpinga sebelum menyoal. “Jadi awak setuju nak kahwin dengan saya?”
“Awak tak dengar ke saya cakap apa tadi?” Zatilhusna mengetap bibir
dengan rasa geram. Peluh yang mulai kelihatan di dahi, dikesat kasar.
Mengahnya mulai terasa apabila sedari tadi dia terpekik macam monyet
kehilangan mak. Bencinya bila dia menjadi tontonan umum di kawasan
lapangan terbang ini. Benci! Tapi kerana lelaki ini…
“Baik awak masuk meminang saya dengan segera!”
Usai memberi arahan itu, dia berpaling dan melangkah. Penat!
Tak pernah dia sangka, dia… Doktor Zatilhusna, akan terpekik macam orang
pendek akal dekat kawasan umum macam ini. Memang memalukan! Tapi, hanya
untuk sekali seumur hidup… mungkin, tidak mengapa. Lagipun, siapa yang
kenal dia dekat sini?
“Zatilhusna… are you okay?” Muncul satu pertanyaan yang menyapa.
Terus berubah hijau wajah Zatilhusna. Nampaknya, dia masih dikenali
walaupun kawasan ini begitu luas dibanjiri oleh ribuan manusia.
“Zatil…” Masih terdengar suara itu.
“I okey. Boleh tak you buat macam tak nampak aje apa yang terjadi tadi.”
Ucap Zatilhusna tanpa berpaling. Kerana suara itu sahaja, dia sudah tahu
siapa. Seakan terasa, ada senyuman di bibir itu.
“Tapi I tak boleh ignore apa yang I dengar kan?” soal Azhar.
“Yes… pastinya. Sebab itu adalah jawapan…” balas Zatilhusna dengan
perasaan yang begitu lega. Wajah Zafar menjadi sasaran telunjuknya dari
jarak beberapa langkah itu. Walaupun lelaki itu langsung tidak tersenyum
pada ketika itu, tetapi Zatilhusna tidak kisah. Cukuplah jika dia masih
dapat menatap wajah itu. Cukup!