BAB 1

Arghhhhhhhhh!!!

“Sampai hati ustaz! Sampai hati ustaz tinggalkan aku! Kenapa? Kenapa dia begitu kejam sekali!!!” jerit Azminda secara tiba-tiba.

Telefon bimbitnya dimatikan. Diarinya dicampak kasar ke dinding. Habis bertaburan gambar-gambar yang diselitkan di dalamnya. Azminda yang perasan gambar-gambar tersebut berserakan di atas lantai lantas mengutip gambar tersebut satu persatu.

“Ustaz,aku sayang kau,”rintih Azminda sambil tangannya mengusap-usap salah satu gambar yang bertaburan itu. Suaranya tiba-tiba bertukar menjadi manja dan mencium berkali-kali gambar kesayangannya itu.

“Tapi….kau dah tipu aku!Kau tinggalkan aku!Kau tahu tak aku sayang kau separuh mati!Aku dah macam hidup dalam mati!Kau tahu tak?!!!” tiba-tiba sahaja Azminda menjerit marah dan mengoyak-ngoyak gambar yang berada di tangannya. Sesal dengan perbuatannya, dia mengambil gam dan mencantumkan semula gambar yang dikoyak.

Namun,kemudiannya Azminda menangis pula. Dia merayu-rayu supaya lelaki yang digelar ustaz itu kembali padanya. Bagaimana sahajalah lelaki itu akan kembali padanya sedangkan dia hanya berkata-kata dengan figura yang berada di dalam sekeping foto. Sekejap-kejap Azminda marah,sekejap lagi dia merayu,ketawa dan menangis. Bagaikan tiada lagi jiwa yang mendekatkan dirinya pada Allah. Azminda lupa seketika pada akhirat dan berusaha keras untuk mengejar sesuatu yang dicipta dalam dunianya sendiri.

Azminda tersedar dari ilusi. Dia mengesat air matanya yang membasahi pipi. Dia beristighfar. Sudah tersasar jauh pula. Dia menghenyakkan punggung di atas landai tilam empuknya itu. Dia cuba mengusir rasa sedih yang masih terbuku di hati. Remuk redam hatinya apabila dia mendengar perkhabaran lelaki kesayangannya baru sahaja melangsungkan pernikahan dengan wanita lain. Mana mungkin hatinya boleh menerima perkhabaran sebegitu. Hatinya bagai disiat-siat pilu. Terlalu sakit. Tidak menyangka ‘ustaz’ yang disayanginya sudah pun menjadi hak wanita lain. Dan wanita itu sudah tentu bukan dirinya. Hatinya rawan mengenangkan dirinya yang selalu dirundung pilu. Bagaimana dia harus berhadapan dengan realiti yang menyaksikan dirinya terolang-aling sendirian kembali.